INSTITUT Akauntan Bertauliah Singapura (ISCA) telah memperkenalkan beberapa langkah bagi membantu firma dan karyawan dalam sektor perakaunan yang terjejas dek penularan wabak koronavirus.
Antara langkah yang dilaksanakan termasuk menyediakan laman mikro penyenaraian kerjaya berkaitan perakaunan dan kewangan yang ditawarkan badan daya kerja Workforce Singapore (WSG) menerusi lamannya MyCareersFuture.sg, selain menyediakan maklumat berkaitan tentang skim kerjaya pemerintah untuk karyawan perakaunan dan kewangan.
Ini diumumkan Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Kewangan merangkap Menteri Kedua Pendidikan, Cik Indranee Rajah, dalam catatannya di Facebook tadi.
Gerbang kerjaya ini menawarkan sekitar 1,000 pekerjaan berkaitan perakaunan dan kewangan, termasuk jawatan seperti pengurus kewangan, pengurus audit, pakar pencukaian, dan akauntan.
Ia juga mengadakan Pusat Rujukan Covid-19 yang menyenaraikan sumber berguna untuk perakaunan dan karywan kewangan, serta nasihat teknikal dan pengumuman baru.
ISCA juga menyediakan Panduan Covid-19 yang mengarahkan individu dan perniagaan ke sumber berkaitan skim sokongan selain sumber lain yang relevan dari Pemerintah dan ISCA.
Badan itu juga melakukan pengumpulan siaran seminar dalam talian dan modul pembelajaran secara elektronik di eLearning Space bagi memberi sokongan kepada karyawan perakaunan dan kewangan agar mereka dapat mempertingkat pengetahuan dan kemahiran semasa tempoh pemutus litar ini.
WSG dan ISCA akan juga melancarkan pameran kerjaya perakaunan maya bulan depan.
"Situasi sekarang sukar, tetapi ia tidak akan kekal selamanya. Ini akan berakhir dan peluang baru akan muncul. Kita telah lihat bagaimana kita boleh manfaat teknologi untuk kerja cara baru meskipun menghadapi jarak selamat. Kita juga telah melihat bagaimana kita boleh menyesuaikan dan bekerja di sebalik cabaran yang dihadapi. Dalam semangat yang sama, mari kita memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiap fasa pemulihan selepas Covid-19 dan muncul dengan lebih kuat," kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg