Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bank S’pura optimis akan pendapatan, pulangan modal

Nov 14, 2024 | 2:05 PM
Ketiga-tiga bank tempatan, DBS, UOB dan OCBC, melaporkan pertumbuhan suku ketiga yang lebih tinggi daripada ramalan konsensus.
Ketiga-tiga bank tempatan, DBS, UOB dan OCBC, melaporkan pertumbuhan suku ketiga yang lebih tinggi daripada ramalan konsensus. - Foto ST

Bank di Singapura optimis tentang prospek pendapatan mereka menjelang 2025, selepas mencatatkan pendapatan suku tahunan yang paling tinggi buat suku ketiga (Q3) yang berakhir pada September 2024.

Mereka juga melihat potensi peningkatan margin faedah bersih (NIM) pada penggal kedua Encik Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat, di mana pasaran meramalkan perubahan pada dasar inflasi, yang mungkin menyebabkan kenaikan kadar faedah.

DBS menjangkakan bahawa keuntungan sebelum cukai untuk 2025 akan hampir setara dengan 2024, dengan penurunan sedikit pada NIM – antara lain, diimbangi oleh peningkatan dalam pinjaman dan pendapatan bukan faedah lain.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS, Encik Piyush Gupta, turut menyatakan bahawa pendapatan keseluruhan mereka berpotensi meningkat sepanjang penggal kedua Encik Trump, memandangkan kadar faedah yang lebih tinggi akan memberi manfaat buat NIM.

Meski OCBC dan UOB mengakui bahawa kadar faedah yang lebih tinggi mungkin akan meningkatkan pertumbuhan NIM, mereka berpendapat bahawa masih terlalu awal untuk menilai kesan penuh penggal kedua Encik Trump.

CEO OCBC, Cik Helen Wong, meramalkan keuntungan yang stabil untuk 2025, dengan pertumbuhan pendapatan bukan faedah dijangka dapat mengimbangi sebarang penurunan NIM.

UOB pula menjangkakan pendapatan keseluruhan yang lebih tinggi pada 2025, didorong oleh pertumbuhan pinjaman dan pendapatan yuran kukuh yang dipacu oleh kad, kekayaan dan perkhidmatan perdagangan.

Ketiga-tiga bank tersebut melaporkan pertumbuhan Q3 yang menjangkau ramalan konsensus, lapor The Business Times (BT).

Berbanding tempoh yang sama pada 2023, keuntungan bersih Q3 DBS, meningkat 17 peratus kepada $3.03 bilion, didorong oleh pertumbuhan am; keuntungan bersih UOB naik 16 peratus kepada $1.61 bilion, dipacu pendapatan yuran perdagangan dan pelaburan yang kukuh.

Keuntungan bersih OCBC meningkat 9 peratus kepada $1.97 bilion, disokong oleh pertumbuhan pada pendapatan bukan faedah.

Encik Thilan Wickramasinghe, ketua penyelidikan kewangan Singapura dan serantau di Kumpulan Perbankan Pelaburan Maybank, menjangkakan segmen kekayaan DBS akan mengatasi unjuran dan integrasi portfolio runcit Citi ke dalam UOB akan terus membuahkan hasil pada 2025.

Momentum pemulihan dalam pendapatan perdagangan OCBC juga dijangka berterusan hingga suku keempat (Q4), tambah Encik Wickramasinghe.

Ketiga-tiga bank turut memberi tumpuan kepada pengurusan modal pada suku ini. 

Selaras dengan piawaian perbankan antarabangsa yang baru dikuatkuasakan di bawah Basel IV bagi keperluan modal, Nisbah Ekuiti Biasa Tahap-1 (CET-1) ketiga-tiga bank ini telah melebihi paras kawal selia. 

Ini membuka ruang untuk mereka mengembalikan lebihan modal kepada para pemegang saham.

DBS mengumumkan program pembelian balik saham bernilai $3 bilion, satu kelainan daripada pendekatan pemulangan modal biasa melalui pembayaran dividen.

Pihak pengurusan UOB pula menyatakan bahawa dengan lebihan modal sekitar $2 bilion hingga $2.5 bilion, mereka sedang meneroka pilihan untuk memulangkan modal atau meningkatkan pelaburan di negara Asean.

Bagi OCBC, pihak pengurusannya lebih cenderung membayar dividen berbanding membeli balik saham, namun mempertimbangkan untuk melepaskan lebihan modal melalui dividen khas atau pengambilalihan.

Seorang penganalisis di RHB melihat langkah tersebut sebagai satu tambah nilai buat para pelabur kerana mereka dapat menikmati hasil dividen yang menarik serta pendapatan yang berisiko rendah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg