Sejak berusia 11 tahun, Raja Arshad Raja Mahmod dididik tentang peri penting seni bela diri apabila seorang ibu bapanya memasukkan beliau dan empat adik-beradiknya dalam kelas taekwondo.
Ia memupuk minat mendalam dalam seni itu dalam diri Raja Arshad, 29 tahun, hingga beliau bukan pernah mewakili Singapura dalam pertandingan taekwondo sahaja, malah kini mengendalikan kelas di Swiftkicks Taekwondo, yang diasaskannya Disember lalu.
Raja Arshad berkata kursus diploma perniagaan maklumat dan teknologi yang diikutinya di Politeknik Temasek meletakkan asas semangat keusahawanan dalam dirinya.
Hasrat memanfaatkan ilmu perniagaan itu dan minat dalam taekwondo membawa kepada penubuhan Swiftkicks Taekwondo di Hougang. Raja Arshad melaburkan kira-kira $100,000, termasuk kos operasi, bagi sekolah itu.
Selain itu, beliau membekalkan dirinya dengan beberapa kemahiran lain, termasuk fisioterapi, yang beliau percaya membantunya lebih memahami tubuh manusia, selain melalui latihan seni mempertahankan diri.
Ia sebahagian daripada komitmen beliau terhadap pembelajaran berterusan serta pembangunan holistik, dan mewujudkan sekolah taekwondo dengan tenaga pengajar berkelayakan dan bermutu tinggi.
“Di Swiftkicks Taekwondo, kami mempunyai tiga tenaga pengajar berdedikasi – saya; abang saya Raja Zulfadli Raja Mahmod (31 tahun), yang merupakan jurulatih utama; dan Chew Kai Jun, seorang bekas atlet nasional,” ujarnya.
Dalam tempoh enam bulan, mereka sudah mempunyai lebih 30 pelajar, merentasi setiap peringkat umur – dari semuda tiga tahun hingga 66 tahun.
Usaha perniagaannya juga bertujuan mencapai matlamat peribadi membalas jasa baik orang tuanya – Raja Mahmod Raja Yusof, 65 tahun, dan Cik Misnah Ahmad, 64 tahun.
“Ibu bapa kami telah menyokong dan mencurahkan segala-galanya agar kami dapat merealisasikan impian kami dalam bidang sukan ini. Dengan mengendalikan sekolah ini, saya ingin membanggakan orang tua saya,” jelas Raja Arshad, yang mewakili Singapura dalam taekwondo dari 2008 hingga 2019.
Dalam memulakan perniagaan itu, Raja Arshad menghadapi cabaran seperti mencari lokasi baik untuk memusatkan sekolahnya, belanjawan dan mendapatkan pelajar. Namun, beliau tidak gentar menghadapinya.
“Kami menerima persaingan dalam industri seni mempertahankan diri sebagai pendorong untuk terus menaikkan taraf dan maju,” ujar usahawan muda itu.
Antara perkhidmatan Swiftkicks Taekwondo ialah jurulatih peribadi, program pemulihan dan tumpuan khusus pada ‘sparring’.
“Swiftkicks Taekwondo menggabungkan seni mempertahankan diri tradisional dengan konsep kecergasan moden.
“Ia bukan bertujuan menjadi sekolah seni bela diri saja. Saya ingin Swiftkicks Taekwondo menjadi sebuah ruang dalam membina hubungan dan memberi inspirasi kepada individu, terutamanya bagi masyarakat Melayu/Islam untuk meneroka seni mempertahankan diri selain pilihan tradisional seperti silat,” ujar Raja Arshad.
Memandang ke hadapan, beliau ingin mengembangkan Swiftkicks Taekwondo pada peringkat tempatan dan juga antarabangsa, meraih jenama terkemuka dalam kalangan masyarakat seni mempertahankan diri.
“Insya-Allah, saya mahu Swiftkicks menjadi sekolah taekwondo profesional yang mempunyai cawangan dan menawarkan peluang bagi pelajar terlibat secara aktif dalam perlawanan persahabatan dengan pesaing luar negara,” kata Raja Arshad.
Beliau juga berharap dapat bekerjasama dengan institusi pendidikan agama untuk mendedahkan pelajar mereka kepada seni bela diri taekwondo.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg