Satu tuntutan mahkamah yang difailkan oleh syarikat pembinaan Lee Kim Tah (LKT) terhadap seorang bekas pengarahnya atas dakwaan melanggar kewajipan telah mendedahkan bahawa beberapa bekas kakitangan CapitaLand di India telah menerima rasuah berkaitan dengan sebuah projek di negara itu.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat The Business Times (BT), pelanggaran kewajipan itu berkaitan dengan projek CapitaLand di India, serta beberapa urus niaga lain.
CapitaLand berkata apabila perkara itu terbongkar pada 2023, syarikat itu menjalankan siasatan dan turut membuat laporan polis.
“Oleh kerana siasatan masih dijalankan, kami tidak dapat mengulas lanjut mengenai kes ini,” kata syarikat itu.
Syarikat tersebut turut menegaskan komitmen untuk menjalankan perniagaan dengan integriti dan piawaian etika yang tinggi, serta berpegang pada dasar toleransi sifar terhadap salah laku.
Bekas pekerja LKT yang disaman, Edmund Cheah Tiang Ann, merupakan pengarah syarikat itu dari 2005 hingga 2023, dengan peranan mengurus pelaburan syarikat.
Dia juga mengetuai L&W Construction, yang menyediakan perkhidmatan pembinaan untuk projek hartanah di India, dengan CapitaLand sebagai salah satu pelanggannya.
L&W ialah anak syarikat hasil usaha sama antara LKT dan syarikat pembinaan, Woh Hup.
Dalam tuntutan mahkamah itu, LKT menuduh Cheah membenarkan L&W menjalankan “urus niaga meragukan” di bawah pengawasannya.
Dakwaan terhadapnya sebahagian besarnya melibatkan bekas pengarah urusan L&W, Asaithambi Manickam, yang LKT dakwa telah memberi rasuah kepada pegawai pemerintah dan kakitangan pelanggan.
Difahamkan pada 2023, wakil daripada CapitaLand Group memaklumkan Cheah dan Manickam bahawa terdapat “beberapa isu” yang timbul berkaitan projek L&W, melibatkan kedua-dua LKT dan Woh Hup.
Wakil CapitaLand itu juga dilaporkan memberitahu Cheah dan beberapa pengarah Woh Hup lain bahawa sebahagian kakitangan kanan CapitaLand telah menerima bayaran daripada L&W berhubung sebuah projek di Pune, India.
Dalam pernyataan tuntutannya, LKT mendakwa Manickam telah meluluskan pengambilan firma Harchan Consultants sebagai syarikat perekrutan bagi L&W, di mana isterinya dikatakan merupakan pemegang saham tunggal merangkap pengarah syarikat tersebut.
“Harchan telah mengeksploitasi L&W dengan memperoleh komisen perekrutan daripada pelantikan beberapa kakitangan kanan, yang kemudian perkhidmatan mereka ditamatkan,” kata peguam LKT dalam kenyataan itu.
L&W juga dilaporkan telah menandatangani “perjanjian merugikan” dengan vendor yang dikawal oleh ahli keluarga Manickam, yang turut didakwa menganugerahkan kontrak pada harga tinggi untuk keuntungan diri dan keluarganya.
Selain itu, Manickam didakwa melakukan “aktiviti melibatkan penipuan dan salah laku serius” semasa bekerja di L&W, dengan jumlah penipuan itu didakwa melebihi 20 bilion rupee India ($294 juta).
Dakwaan itu didedahkan oleh pemberi maklumat yang terdiri daripada pelanggan L&W serta kakitangan semasa dan bekas kakitangan.
LKT mendakwa bahawa Cheah “meluluskan, membenarkan, atau turut terlibat” dalam kemasukan L&W ke dalam urus niaga berkenaan, yang didakwa “memberi kesan besar kepada pelaburan LKT”.
Tindakan itu didakwa telah melanggar kewajipan fidusiari – iaitu tanggungjawab undang-undang untuk bertindak demi kepentingan syarikat – serta kesetiaan terhadap syarikat.
Pada 30 September 2023, Cheah meletak jawatan daripada LKT, tetapi didakwa telah diambil bekerja semula oleh pengerusi Woh Hup, Encik Yong Tiam Yoon, sebagai penasihat peribadinya di syarikat usaha sama itu – meskipun LKT berulang kali membantah, menurut penyataan tuntutan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg