Bilangan kereta sewa capai tahap tertinggi pada 2025
Kereta sewa kini merangkumi hampir 15 peratus daripada jumlah keseluruhan kereta di Singapura, dengan mencatat rekod 95,857 kenderaan pada 2025.
Ini berikutan minat terhadap pemilikan kereta peribadi yang semakin berkurang akibat premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang tinggi.
Jumlah keseluruhan kereta sewa meningkat 41 peratus sejak mencapai tahap terendah 67,990 kenderaan pada 2021, susulan pandemik Covid-19.
Pemilik kereta sewa boleh memilih untuk menyewakannya kepada orang lain untuk kegunaan peribadi, atau kepada pemandu yang menyediakan perkhidmatan tempahan perjalanan (ride-hailing).
Pada masa yang sama, jumlah keseluruhan kereta berdaftar privet menurun secara berterusan antara 2021 dengan 2025, daripada 532,204 unit kepada 524,312 unit.
Secara keseluruhan, terdapat 659,889 kereta di Singapura pada penghujung 2025.
Pertumbuhan jumlah kenderaan sewa didorong oleh kenaikan harga kereta akibat premium COE yang tinggi, menjadikan penyewaan sebagai langkah alternatif lebih praktikal bagi sesetengah individu.
Pada 2025, premium COE Kategori A, yang ditetapkan untuk kereta lebih kecil dan kurang berkuasa, mencecah $128,105, iaitu lebih dua kali ganda daripada rekod tertinggi $58,801 pada 2021.
Pakar industri berkata, pertumbuhan jumlah kereta sewa mungkin berpunca daripada individu yang mendaftarkan kereta mereka sebagai kenderaan sewa sebagai satu cara untuk mengelak sekatan pinjaman yang dikenakan ke atas kereta peribadi.
Berbeza dengan kereta peribadi, kenderaan sewa tidak tertakluk kepada had jumlah pinjaman dan tempoh bayaran balik sama yang ditetapkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Pinjaman bagi kereta peribadi dihadkan sehingga 70 peratus daripada harga kenderaan dan mesti dilunaskan dalam tempoh tujuh tahun.
Dalam respons kepada surat forum The Straits Times (ST) pada 25 September 2025, MAS berkata kereta sewa dikecualikan supaya tidak mengehadkan pembiayaan kepada syarikat dan individu yang bergantung pada kenderaan tersebut untuk perniagaan dan mata pencarian mereka.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa kadar faedah bagi skim pembiayaan kereta untuk sewa privet lazimnya lebih tinggi berbanding pinjaman untuk kereta bagi kegunaan peribadi.
Ahli ekonomi pengangkutan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira, berkata amalan mendaftarkan kereta sebagai kenderaan sewa untuk mengelak had pembiayaan menyukarkan pihak berkuasa mengetahui berapa banyak kereta sewa sebenarnya digunakan untuk tujuan sewaan, sama ada bagi perkongsian kereta atau perkhidmatan tempahan perjalanan.
Menurut beliau, ramai masih ingin memiliki kereta, dan mereka yang benar-benar memerlukan kereta – seperti individu dengan pergerakan terhad, yang mempunyai keluarga, atau yang bekerja dalam bidang jualan – akan menganggap pengangkutan alternatif tidak praktikal.
Bagi kumpulan ini, mendapatkan kereta tetap menjadi keutamaan, meskipun ia dilakukan melalui skim pembiayaan kereta sewa privet yang lebih mahal.
Manakala, ahli ekonomi, Profesor Madya Bao Te dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata memandu kenderaan tempahan perjalanan memberi fleksibiliti kepada individu yang memerlukan kereta untuk memperoleh pendapatan tambahan bagi mengimbangi kos pemilikan yang tinggi.
Sementara itu, pakar strategi dan dasar dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Nitin Pangarkar, berkata perkongsian kereta lebih praktikal secara ekonomi.
Ini memandangkan kos pemilikan kereta yang tinggi dan realiti kereta peribadi yang lazimnya lebih banyak menghabiskan masa di tempat letak kereta daripada digunakan atas jalan raya.
Memandangkan jumlah kereta yang didaftarkan untuk perkhidmatan tempahan perjalanan meningkat dengan pesat, terdapat tanda-tanda lebihan bekalan, kata pengerusi kumpulan automotif pelbagai sektor Prime, Encik Neo Nam Heng.
“Adakah kita memerlukan begitu banyak kenderaan sewa privet?”, katanya.
Beliau menambah bahawa kemudahan pembiayaan yang senang diperoleh syarikat kenderaan telah mendorong pertambahan bilangan kereta secara berlebihan, apabila mereka bersaing untuk mendapatkan bahagian pasaran.
Pada penghujung 2025, terdapat 61,001 pemandu yang memegang lesen untuk menyediakan perkhidmatan tempahan perjalanan, serta 90,853 pemegang lesen teksi yang turut dibenarkan memandu kereta sewa privet.
Jumlah kenderaan untuk perkhidmatan tempahan perjalanan mencapai 62,092 kereta pada 2025, meningkat daripada 44,843 kereta pada 2021, menandakan kenaikan hampir 40 peratus.

