Bilangan unit sewa bagi kondominium naik semula pada Jun, meningkat 16.8 peratus selepas susut pada Mei.
Kadar sewa bagaimanapun agak mendatar dengan prestasi bercampur-campur di semua kawasan, berdasarkan anggaran awal yang dikeluarkan portal hartanah SRX dan 99.co pada 18 Julai.
Harga sewa di Kawasan Tengah Utama (CCR) turun paling banyak iaitu 1.2 peratus, diikuti harga sewa di kawasan pinggir bandar atau Baki Kawasan Tengah (RCR) yang susut 0.3 peratus.
Sebaliknya, harga sewa di Luar Kawasan Tengah (OCR) meningkat 0.8 peratus.
Harga sewa kondominium turun 4.7 peratus pada Jun 2024 berbanding Jun 2023, lapor The Business Times (BT).
Semua kawasan mencatat harga yang merosot, dengan CCR, RCR dan OCR masing-masing turun 5.7 peratus, 4.6 peratus dan 3.9 peratus, berbanding tempoh sama setahun lalu.
Selain itu, sebanyak 6,020 unit kondominium disewa pada Jun, berbanding 5,155 unit pada Mei. Bilangan kondominium yang disewa meningkat 3.5 peratus pada Jun 2024 berbanding Jun 2023.
Namun, ia adalah 4.2 peratus lebih rendah berbanding jumlah purata lima tahun bagi Jun.
Dari segi kawasan, 37.5 peratus daripada jumlah sewa kondominium terletak di OCR, diikuti 32.9 peratus di RCR dan 29.6 peratus di CCR.
Sementara itu, permintaan sewa bagi pasaran HDB lebih sederhana pada Jun, dengan kededua harga dan jumlah sewa naik sedikit.
Sewa HDB naik 0.5 peratus pada Jun 2024 berbanding Mei, dan naik 5.5 peratus berbanding Jun 2023.
Paling ketara, harga sewa di kawasan perumahan matang naik 1.2 peratus, manakala harga sewa di kawasan bukan matang turun 0.2 peratus.
Berbanding tempoh sama pada 2023, harga sewa bagi kawasan perumahan matang dan bukan matang masing-masing naik 5.7 peratus dan 5.2 peratus.
Sewa flat eksekutif naik paling tinggi, iaitu 1.6 peratus pada Jun berbanding Mei, diikuti flat tiga bilik yang meningkat 1.2 peratus dan flat empat bilik yang naik 0.1 peratus.
Semua jenis flat HDB mencatat kenaikan sewa pada Jun 2024 berbanding Jun 2023.
Selain itu, bilangan flat HDB yang disewa pula meningkat 2.7 peratus kepada 2,629 flat pada Jun 2024, berbanding 2,560 flat pada Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg