LONDON: Rangkaian kedai produk kosmetik dan kebersihan The Body Shop akan menutup hampir separuh daripada 198 kedainya di United Kingdom, selepas perniagaannya di Britain melalui proses insolvensi pada minggu lalu.
Pentadbir firma penasihat kewangan, FRP Advisory, memutuskan bahawa portfolio kedai The Body Shop sekarang adalah tidak berdaya maju, dan tujuh kedai tersebut akan ditutup serta-merta, menurut satu kenyataan pada 20 Februari, termasuk kedai di Oxford Street dan Canary Wharf di London.
Syarikat itu akan memberi tumpuan kepada jualan dalam talian dan jualan borong.
Dalam pada itu, lebih 300 pekerja di ibu pejabat syarikat The Body Shop, dijangka diberhentikan.
The Body Shop ditubuhkan pada 1976 oleh aktivis hak haiwan, Cik Anita Roddick di England.
Ia menjadi popular kerana menjual produk kosmetik dan kebersihan yang tidak diuji pada haiwan.
Namun, perniagaannya berdepan cabaran sengit daripada pesaing dan tidak meraih keuntungan selama bertahun-tahun. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg