Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buku diminati waktu pandemik

Kedai buku lapor kenaikan 80%
Sep 29, 2020 | 5:30 AM
e27c67ca-598e-4417-ada1-bd4211f82b80
-

PENJUALAN buku secara 'online' di Singapura melonjak semasa pandemik Covid-19, menurut beberapa penjual buku setempat.

Sedang ada kedai buku yang dilaporkan terpaksa ditutup sejak kebelakangan ini, ada juga kedai yang melaporkan penjualan dalam talian yang naik berbanding sebelum Covid-19.

Pemilik Muslimedia Distributor Encik Mohd Noor Mohd Amin, berkata penjualan dalam talian, serta penjualan secara keseluruhannya, telah meningkat.

Berbanding sebelum Covid-19, penjualan keseluruhan Muslimedia meningkat sekitar 70 hingga 80 peratus, manakala penjualan dalam talian sahaja naik sekitar 30 hingga 40 peratus - satu anggaran konservatif, menurut Encik Mohd Noor.

"Penjualan kami berubah dengan ketara sekali, dengan perubahan ke arah era digital.

"Kami masih lagi terus dalam proses penyesuaian dengan online. Itulah rupanya arah bisnes masa depan, dipercepat dengan sebab pandemik," ujar Encik Mohd Noor.

Bersetuju, pemilik Wardah Books, Encik Ibrahim Tahir, berkata trend penjualan online telah dipercepat oleh Covid-19.

Penjualan buku secara online kini merangkumi sekitar 40 peratus daripada penjualan keseluruhannya, berbanding 25 peratus sebelum pandemik.

"Sebagai penjual buku, kami amat terdorong dengan trend ini.

"Ramai yang kata semasa lockdown, orang hanya tonton Netflix, tetapi itu bukan gambaran yang penuh.

"Golongan yang membaca kini membaca dengan lebih banyak lagi, dan menempah lebih banyak buku," ujar Encik Ibrahim.

Tahap penjualan kedai buku di Bussorah Street itu kini sudah kembali ke peringkat sebelum pandemik, katanya.

Di Singapura, penjualan barangan optik dan buku meningkat 227 peratus pada bulan Jun, berbanding Mei lalu, menurut laporan runcit Jabatan Statistik Singapura (DOS).

Namun, dari tahun ke tahun, penjualan optik dan buku merosot 37.3 peratus pada bulan Jun berbanding setahun lalu.

Beberapa kedai buku dilaporkan telah ditutup baru-baru ini, seperti Books Actually di Tiong Bahru, yang kini hanya menjual secara online.

Trend penjualan buku yang meningkat semasa pandemik turut dilihat di negara lain.

Di United Kingdom, penjualan buku cereka meningkat sebanyak sepertiga, manakala penjualan buku pendidikan meningkat 234 peratus, menurut satu laporan BBC.

Presiden Persatuan Penerbit Antarabangsa, Encik Hego Setzer, berkata kegiatan membaca telah meningkat, dengan ramai orang yang mengasingkan diri semasa pandemik ini.

"Buku dan membaca merupakan cara terbaik untuk 'membebaskan diri' daripada (kongkongan) empat dinding kita, dan untuk memahami apa yang berlaku di sekitar kita, dan bagaimana untuk mengatasinya dan menjadikan kehidupan kita lebih baik," ujar Encik Setzer dalam laman persatuan itu.

Persoalan apakah trend penjualan yang meningkat ini boleh terus bertahan, akan bergantung pada sejauh mana budaya membaca boleh terus bertahan, kata Encik Ibrahim.

"Kita perlu semacam gerakan bagi meyakinkan orang ramai untuk terus membaca, dan bagi golongan yang berhenti membaca untuk kembali membaca. Itu penting dari segi kemampanan," ujar Encik Ibrahim, yang antara lain menganjurkan sesi kelab buku bagi menarik pembaca.

CETUS TABIAT MEMBACA

''Penjualan kami berubah dengan ketara sekali, dengan perubahan ke arah era digital. ''Kami masih lagi terus dalam proses penyesuaian dengan 'online'. Itulah rupanya arah bisnes masa depan, dipercepat dengan sebab pandemik.'' - Encik Mohd Noor Mohd Amin, Pemilik Muslimedia Distributor

''Sebagai penjual buku, kami amat terdorong dengan trend ini. Ramai yang kata semasa 'lockdown', orang hanya tonton Netflix, tetapi itu bukan gambaran yang penuh. Golongan yang membaca kini membaca dengan lebih banyak lagi, dan menempah lebih banyak buku.'' - Encik Ibrahim Tahir, pemilik Wardah Books

''Buku dan membaca merupakan cara terbaik untuk 'membebaskan diri' daripada (kongkongan) empat dinding kita, dan untuk memahami apa yang berlaku di sekitar kita, dan bagaimana untuk mengatasinya dan menjadikan kehidupan kita lebih baik,'' - Encik Hego Setzer, Presiden Persatuan Penerbit Antarabangsa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg