Subuh
5:55
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Ekonomi & Kerja0

Chun Sing: Sektor tenaga dan kimia tawar peluang niaga, kerja

Jan 14, 2021 | 05:30 AM

SEKTOR tenaga dan kimia menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan yang terus berkembang untuk Singapura sedang trend baru dalam pasaran akan memanfaatkan kekuatan negara ini, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing.

Ini dirangsang lagi dengan pengumuman beberapa pelaburan baru-baru ini, termasuk oleh firma kimia khusus, DuPont Singapore, bagi menubuhkan kemudahan baru di sini yang dijangka mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk warga.

Tahun lalu, pengeluar kimia Perancis, Arkema, melaburkan beberapa juta dolar untuk menghasilkan bahan polimer berdasarkan biologi menggunakan minyak jarak sebagai bahan mentah.

Semua pelaburan ini bukan hanya mengembangkan sektor tenaga dan kimia, malah mewujudkan peluang pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura, kata Encik Chan.

Pada masa sama, ia menekankan lagi kedudukan utuh Singapura sebagai antara 10 hab eksport kimia global utama dan antara lima hab eksport penapisan.

Buat masa ini, sektor tenaga dan kimia setempat menggajikan sekitar 25,000 pekerja, dengan 70 peratus merupakan warga.

Bercakap dalam satu taklimat media secara maya menyusuli lawatannya ke syarikat DuPont Singapore semalam, Encik Chan berkata terdapat peluang pertumbuhan, khususnya dalam bidang kimia istimewa.

"Ini kerana akan beberapa trend yang bakal membentuk sektor itu pada beberapa tahun mendatang dan memanfaatkan kekuatan Singapura.

"Kini semakin ramai yang bukan hanya melihat kepada sektor kimia konvensional, malah sektor kimia istimewa juga yang membolehkan mereka menghasilkan produk yang lebih mesra sekitaran lebih mampan," jelas beliau.

Satu lagi trend ialah Asia Pasifik merupakan pasaran paling pesat berkembang bagi sektor kimia istimewa - dengan keperluan setiap pasaran yang pelbagai.

Dalam hal ini, Singapura memiliki kelebihan berbanding lain, kata Encik Chan.

"Disebabkan kita terletak di Asia Tenggara dan rantau Asia Pasifik lebih luas, kita boleh menjadi wadah pangkalan untuk banyak syarikat kimia dan kimia istimewa, yang boleh memberi khidmat kepada pasaran serantau... selain itu, terdapat rantai logistik di sini... kerana pengkhususan yang semakin penting maka kebolehkepercayaan rantai bekalan juga harus dipertingkatkan.

"Ini bermakna Singapura mempunyai kelebihan untuk memenuhi keperluan banyak syarikat kimia istimewa ini," ujar beliau.

Encik Chan turut menarik perhatian bahawa isu hak milik intelektual (IP) juga menjadi keprihatinan banyak syarikat, khususnya kerana mereka menghasilkan kimia khas.

"Dan kerana kita mempunyai rangka kerja perlindungan IP yang kukuh, kita dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan trend ini dan berkhidmat kepada pasaran lebih luas," terangnya.

Bagi menarik lebih banyak pelaburan daripada firma kimia istimewa, universiti dan politeknik setempat sedang meningkatkan usaha memupuk dan membangunkan bakat tempatan termasuk kerjasama kajian di antara syarikat dan institusi pengajian tinggi, tambah Encik Chan.

Beliau juga berkata bahawa sektor kimia istimewa menawarkan antara gaji paling teratas dalam kalangan sektor perkilangan - yang secara purata, sekitar 50 peratus lebih tinggi berbanding kelompok perkilangan lain.

Sementara itu, kemudahan baru DuPont dijangka beroperasi pada suku kedua tahun ini dan akan menghasilkan huraian teknologi bio khusus keperluan untuk Asia Pasifik, menurut DuPont Nutrition & Bioscence.

Syarikat itu tidak mendedahkan nilai pelaburannya.


"Disebabkan kita terletak di Asia Tenggara dan rantau Asia Pasifik lebih luas, kita boleh menjadi wadah pangkalan untuk banyak syarikat kimia dan kimia istimewa, yang boleh memberi khidmat kepada pasaran serantau... selain itu, terdapat rantai logistik di sini... kerana pengkhususan yang semakin penting maka kebolehkepercayaan rantai bekalan juga harus dipertingkatkan."
- Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map