Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass) sedang membantu dalam pembubaran Charaku Pte Ltd, syarikat tempatan yang memiliki dan mengendali khidmat peranti penstriman karaoke yang dikenali sebagai Popsical.
Dalam satu kenyataan media pada 2 Julai, Compass – badan awam bukan untung yang mentadbir persembahan awam, penyiaran, hak penyebaran dan hak terbit semula muzik – menyatakan ia berjaya mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat itu atas pelanggaran hak cipta muzik dan syarikat itu kini telah gulung tikar.
Daripada laman web rasmi Popsical, sistem tersebut melibatkan peranti fizikal yang dihubungkan kepada khidmat penstriman karaoke berasaskan awan yang mengandungi lebih 230,000 lagu merangkumi 14 bahasa.
Untuk menggunakannya, pengguna perlu membeli peranti fizikal dan melanggani khidmat penstriman Popsical.
Senarai lagu yang disimpan dalam sistem awan pihak penyedia kemudian akan dimainkan di peranti pengguna sebaik sahaja pengguna memilih lagu yang diinginkan, tambah laman itu.
Laman itu menyatakan ia berlesen di bawah Khidmat Muzik Industri Rakaman Singapura (Rimss) dan Compass.
Menurut Compass, tindakan undang-undang itu diambil selepas syarikat itu hanya membuat sebahagian pembayaran yang rendah bagi lesen hak cipta muzik atas apa yang dikatakan “pendapatan rendah dan kekurangan dana” sepanjang tujuh tahun.
“Dengan pelbagai janji untuk melunaskan bayaran (dibuat) dan kemudian terus menyepi, adalah jelas bahawa pengguna muzik tersebut tidak berniat memohon lesen/ kebenaran hak cipta muzik yang terpakai,” jelas Compass.
Oleh demikian, saman bernilai $1 juta telah difailkan Compass terhadap Charaku Pte Ltd untuk caj lesen yang tertunggak dari 2017 hingga Jun 2024.
Ini di samping kos kewangan yang perlu ditanggung Compass bagi melantik pembubar bagi Charaku Pte Ltd, ujar Compass.
Ketua Ehwal Undang-undang dan Perlesenan Compass, Encik Tan Ming Quan, berkata:
“Kami telah menghantar surat kepada perniagaan ini berulang kali bagi menggesa mereka untuk memohon lesen muzik yang diperlukan.
“Lesen sedemikian penting bagi pencipta lagu, kerana ia membentuk sebahagian besar hasil pendapatan mereka. Namun, perniagaan ini (Charaku Pte Ltd) dengan anggaran pendapatan kasar sebanyak $3 juta, mengabaikan sepenuhnya hak sedemikian.
“Selepas berulang kali tidak mengendahkan seruan kami untuk ambil tindakan, kami berdepan dengan pilihan menggulung perniagaan mereka kerana mereka tidak berniat mematuhi hak cipta lagu dengan penggunaan lagu secara sewenang-wenangnya.
“Kami tiada pilihan lain selain untuk mengambil tindakan undang-undang.”
Compass menjelaskan bahawa Charaku Pte Ltd mempunyai anggaran sekitar 12,700 pelanggan tempatan yang menggunakan khidmat penstriman karaoke Popsical kendaliannya antara 13 September 2022 dengan 12 September 2023.
Oleh kerana syarikat itu kini sedang melalui pembubaran, Compass menasihatkan orang ramai dan pelanggan sedia ada berkenaan membuat pembayaran kepada penyedia terjejas pada masa hadapan.
Ini kerana terdapat kemungkinan tinggi khidmat yang dibayar itu “tidak dapat dikotakan dengan baik” dan menggesa khidmat penstriman muzik serta pengendali tempat hiburan untuk bertanggungjawab mendapatkan lesen sesuai bagi penggunaan karya muzik.
Dalam satu respons kepada Berita Harian ketika dihubungi melalui panggilan telefon, pengarah Charaku Pte Ltd, Encik Marican Faruq Umar, berkata pihaknya sedang mencari penyelesaian alternatif bagi pelanggan terjejas namun tidak mendedahkan butiran lanjut.
Beliau berkata: “Kami akan menjaga (kemaslahatan) pelanggan kami dengan menyediakan aturan alternatif.”
Beliau juga berkata aplikasi Popsical Karaoke akan dipadamkan daripada wadah App Store, bagi iPhone, dan Google Play, bagi telefon bimbit sistem Android, dalam masa terdekat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg