RIAU: Bagi mencegah penularan koronavirus menerusi syiling atau wang kertas, wakil Bank Indonesia (BI) bagi Kepulauan Riau telah melaksanakan satu protokol keselamatan untuk wang, lapor Batam Tribun.
Satu daripadanya adalah dengan Bank Indonesia melakukan kuarantin ke atas wang selama 14 hari sebelum ia diedarkan ke pasaran.
"BI kuarantin selama 14 hari untuk wang yang dimasukkan ke bank atau menerusi Penyedia Khidmat Pemprosesan Wang Rupiah (PJPUR). Ia kemudian diteruskan dengan proses menyembur cecair pembasmi kuman sebelum pemprosesan dan penyebaran wang kembali kepada umum," kata Ketua Wakil BI bagi Kepulauan Riau, Encik Musni Hardi K Atmaja.
Ini dilakukan kata Encik Musni, bagi mengurangkan penularan koronavirus menerusi mata wang Rupiah.
Ini kerana adanya sentuhan tangan manusia.
Sebab wang dikuarantin 14 hari, adalah kerana ia menuruti tempoh pemeraman.
Dijangkakan, selepas 14 hari, virus itu akan mati dengan sendirinya.
"Kami harap pandemik ini akan berakhir segera. Semua sektor dapat kembali aktif seperti sediakala," katanya.
Sebelum wang disebarkan, ia mesti menjalani proses penyemburan cecair pembasmi kuman di kemudahan BI.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg