Topik diikuti
Pergi ke BHkuCPF sekat perbelanjaan rakyat? DPM Gan bidas alasan AS kenakan tarif lebih tinggi
CPF sekat perbelanjaan rakyat? DPM Gan bidas alasan AS kenakan tarif lebih tinggi
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, pada 26 November membidas dakwaan Amerika Syarikat bahawa skim Tabung Simpanan Pekerja (CPF) menyekat perbelanjaan barangan oleh warga Singapura.
Ia merupakan antara dakwaan Amerika yang dijadikan asas bagi mengenakan tarif baharu ke atas Republik ini.
Dalam mewajarkan levi baharu sehingga 20 peratus itu, Pejabat Wakil Perdagangan Amerika (USTR) berkata Singapura mengamalkan “penggalakan simpanan yang mengekang pembelian serta melonjakkan lebihan akaun semasa Singapura”.
Skim CPF, khususnya, mewajibkan caruman gaji “jauh melebihi kadar di Amerika dan banyak ekonomi maju lain”, tulis pejabat itu dalam laporannya setebal 168 muka surat pada 25 November.
Ia berhujah bahawa perkara ini – di samping dasar lain seperti sokongan terhadap sektor perkilangan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) – meningkatkan pertumbuhan keupayaan Singapura tanpa pertumbuhan permintaan yang setimpal, sekali gus menjejaskan pengeluar Amerika.
Bercakap dalam taklimat media di bangunan The Treasury, Encik Gan memberi contoh baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) sebagai antara skim Singapura yang “menggalakkan, mempromosikan dan menyokong perbelanjaan secara tempatan”.
Beliau berkata CPF bukanlah skim untuk menyekat perbelanjaan, sebaliknya bertujuan memenuhi keperluan perumahan, penjagaan kesihatan dan persaraan peribadi.
Sistem itu amat penting bagi Singapura, memandangkan penduduknya yang semakin menua, ketiadaan sumber semula jadi serta hasrat untuk tidak membebankan generasi muda secara berlebihan.
Ia juga unik bagi Singapura, katanya.
“Kebanyakan negara mempunyai sama ada dana pencen atau skim insurans yang mereka harapkan bagi keperluan persaraan.”
Encik Gan, yang juga Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), berkata Singapura akan terus berunding dengan Amerika dan berusaha ke arah mengurangkan tarif terhadap syarikat tempatan.
“Justeru, saya rasa amat penting untuk kita berkomunikasi dengan mereka bagi menjelaskan pendirian kita, dan kita harap agar mereka akan memahami tujuan sebenar CPF.”