BANK Switzerland, Credit Suisse masih mengambil pekerja menjelang pengambilalihannya oleh pesaing lama UBS, dalam usaha mengurangkan pemindahan bakat yang berterusan.
Akhbar The Straits Times difahamkan bahawa bank tersebut masih mengambil pengurus perhubungan, jurubank kanan, perunding pelaburan dan pengurus portfolio di Singapura, dan akan terus mengambil pekerja sebelum perjanjian itu dijangka berakhir pada Mei.
Laman LinkedIn pada Isnin menunjukkan 15 pembukaan dalam bidang seperti pembangunan perisian, senarai gaji, sumber manusia dan pengurusan amanah.
Lebih daripada 1, 000 orang telah memohon untuk pembukaan di LinkedIn pada petang Isnin, tetapi sebahagian besar permohonan itu hanya untuk beberapa peranan, seperti pembangunan perisian dan sumber manusia.
Perkembangan ini berlaku walaupun bank global itu berkata pada Oktober 2022 bahawa mereka akan mengurangkan 9, 000 pekerjaan.
Terdapat juga ketidakpastian sama ada kakitangan Credit Suisse akan mendapat tempat dalam entiti gabungan itu, walaupun agensi berita melaporkan bahawa bank itu memberikan bonus pengekalan kepada pekerja yang dianggap UBS sebagai penting.
Menurut sumber pasaran, Credit Suisse menggaji dalam 3, 500 orang di Singapura. Tidak jelas jumlah kakitangan yang berhenti dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Menurut laporan media, bank global itu kehilangan 280 pengurus perhubungan dalam unit kekayaan utamanya sepanjang 12 bulan hingga Mac.
Peneraju pengurusan kekayaan di firma carian eksekutif Ethos BeathChapman (EBC), Encik Christopher Poh, mengatakan bahawa Credit Suisse sedang mengalami masa yang sukar untuk menarik bakat yang baik.
Namun, terdapat juga calon oportunis yang terbuka untuk meneroka kerjaya bersama bank tersebut kerana penstrukturan semula dan pembahagian fokus kepada bidang teras seperti pengurusan kekayaan.
Menurut Encik Poh, penggajiannya untuk penggantian dan bukan untuk perkembangan.
"Memandangkan terdapat penghijrahan jurubank dan pakar produk, Credit Suisse perlu mengambil pengganti untuk peranan teras dalam bank agar dapat terus berfungsi," tambah beliau.
Jurucakap bank memberitahu ST bahawa bahagian pengurusan kekayaannya akan terus memberi perkhidmatan kepada pelanggan sehingga penutupan urus niaga UBS, dan pada jangkaan mereka, tiada sebarang gangguan kepada perkhidmatan pelanggan.
Reputasi Credit Suisse, bank kedua terbesar di Switzerland, telah menerima kesan daripada rentetan skandal dan kerugian selama bertahun-tahun, bermula dari sekitar 2020.
Credit Suisse seolah-olah menghadapi babak terakhirnya pada 19 Mac apabila UBS bersetuju untuk membelinya untuk tiga bilion franc Swiss ($4.5 bilion) dalam stok, sebagai sebahagian daripada gabungan yang disokong oleh pihak berkuasa Switzerland untuk mengelakkan kegawatan perbankan berikutan kemerosotan baru dalam saham Kredit Suisse.
Perunding kanan EBC untuk risiko dan pematuhan, Encik Khairul Anwar, berkata bahawa terdapat peletakkan jawatan berterusan dari Credit Suisse sejak ketidakstabilannya muncul dan mereka yang tinggal sebahagian besarnya adalah kakitangan penting pada masa gabungan itu diumumkan.
Kesan perjanjian itu terhadap tenaga kerja Credit Suisse mungkin mengambil sedikit masa untuk dirasai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg