Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Daya tarikan niaga Kampong Gelam kekal utuh meski kos sewa tinggi

Jul 8, 2024 | 5:30 AM
Kampong Gelam tidak hilang daya tarikannya dalam kalangan perniagaan meski kos sewa di lokasi tersebut kekal tinggi.
Kampong Gelam tidak hilang daya tarikannya dalam kalangan perniagaan meski kos sewa di lokasi tersebut kekal tinggi. - Foto fail

Suatu ketika dahulu, Kampong Gelam terkenal sebagai hab tekstil.

Namun dalam beberapa dekad lalu, nadi masyarakat Melayu ini telah menyaksikan lebih banyak perkembangan dari segi kepelbagaian perniagaan yang bertapak di sana.

Yang pasti, Kampong Gelam tidak hilang daya tarikannya dalam kalangan perniagaan meski kos sewa di lokasi tersebut kekal tinggi, kongsi pengerusi One Kampong Gelam, Encik Zaki Ma’arof, kepada Berita Harian (BH).

Meski Covid-19 menjejas perniagaan di Singapura, beliau berkongsi bahawa jumlah perniagaan yang dimiliki peniaga Melayu/Islam di sana rata-ratanya kekal stabil pada 20 peratus.

“Kawasan ini memang menarik orang ramai daripada pelbagai kaum.

“Tetapi saya gembira apabila orang masih pandang tempat ini sebagai kawasan orang Melayu/Islam.

“Disebabkan itulah kita perlu pastikan perniagaan Melayu/Islam dapat dikekalkan di sini dan pertingkat kehadirannya,” ujar beliau.

Encik Zaki akur kos sewa merupakan salah satu cabaran terbesar perniagaan di sana, dengan harga sewa rata-rata mencecah lima angka, dalam $15,000 sebulan.

Namun begitu, peniaga baru yang dihubungi BH berkata kawasan Kampong Gelam mempunyai kelebihan dari segi bilangan orang Melayu/Islam yang berkunjung ke sana.

Pemilik kedai makanan tradisional, Perghchicks, Encik Muhammad Afiq Irwan, telah membuka kedai di Haji Lane dua tahun lalu setelah berpindah dari lokasi asal, di pusat penjaja di Jurong West.

Berkongsi mengapa beliau berbuat demikian biarpun harga sewa di Kampong Gelam jauh lebih mahal, Encik Afiq berkata ia adalah kerana lokasi Kampong Gelam menarik lebih ramai pelanggan berbanding pusat penjaja itu.

“Kebanyakan perniagaan Melayu masih nak terus bertapak di Kampong Gelam kerana kebanyakan daripada masyarakat kita ke sana untuk lepak dan berkumpul bersama keluarga berbanding dengan di Orchard Road, contohnya,” ujar beliau.

Menurutnya, harga sewa yang ditetapkan pemilik unit secara umumnya meningkat setelah tempoh Covid-19, justeru menjejas hasil keuntungan keseluruhan beliau.

Namun, beliau masih dapat memperoleh semula modal pada kebanyakan masa dan mempergiat usaha di media sosial supaya kekal berdaya saing.

Pemilik kedai pastri, The French American Bakery, Cik Siti Aishah Mohamad Lakhsani, yang membuka kedai pertamanya di Haji Lane pada hujung 2021, berkata berniaga di Kampong Gelam mempunyai keistimewaan tersendiri.

Ini disebabkan ia bukan sahaja menarik kedatangan orang Melayu, malah menjadi tempat persinggahan pelancong yang bersiar-siar di sana.

“Apabila kami merancang membuka perniagaan ini, kami sebenarnya ingin menyumbang semula kepada masyarakat dengan tumpuan terhadap pelanggan Melayu/Islam.

“Kami lihat di kawasan lain (luar Kampong Gelam), tetapi bilangan orang Islam yang ke sana tidak seramai dibandingkan dengan kawasan Kampong Gelam.

“Apabila kami buka di sini, kami mula menerima pelanggan Cina, pelanggan India, yang tidak selalu ke Haji Lane tetapi tetap ke sana kerana tahu kami di sana. Ramai pelancong juga datang, dan nama kami tersebar,” ujarnya.

Lantas, beliau terdorong untuk menebarkan sayap ke luar negara sekiranya terdapat peluang pada masa akan datang.

“Kami terima banyak permintaan – mereka ingin mendapatkan francais kedai kami di Malaysia, Filipina, Indonesia.

“Kami mempunyai rancangan tetapi tidak pasti bila kerana buat masa ini, kami ingin tumpukan perhatian terhadap cawangan tempatan kami,” ujarnya, yang membuka cawangan kedua dan ketiga di pusat beli-belah Takashimaya dan Hillion Mall.

Untuk kekal berdaya saing, Cik Aishah berkata mereka banyak membuat kajian pasaran.

Dari situ, beliau pastikan produknya berlainan dan menggunakan bahan-bahan bermutu tinggi seperti mentega Perancis yang selalunya lebih mahal.

Encik Zaki berkata One Kampong Gelam sedang meneruskan usaha untuk mengemukakan isu harga sewa yang tinggi kepada pemerintah.

Menyentuh tentang jenis perniagaan di sana, beliau berkata ia semakin pelbagai, dengan yang popular merupakan perniagaan yang tertumpu kepada makanan dan minuman yang boleh dibungkus dan dibawa pulang.

Beliau berharap lebih ramai peniaga Melayu/Islam akan membuka perniagaan di kawasan Kampong Gelam supaya dapat memastikan ia kekal sebagai pusat kebudayaan Melayu/Islam yang berkembang maju.

Khususnya di Haji Lane dan Bali Lane, beliau berkata ia menjadi tempat yang semakin digemari peniaga Melayu/Islam dengan sekitar 15 perniagaan bertempat di situ.

Dalam pada itu, beliau menambah bahawa adalah penting untuk masyarakat terus menyokong perniagaan Melayu di kawasan tersebut.

“Kami kadangkala dengar desas-desus bahawa Haji Lane dan Bali Lane sudah menjadi tempat kegiatan menjual minuman keras berleluasa... ada orang Islam kita yang elak berkunjung ke sana.

“Tetapi saya ingin tekankan bahawa kita masih ada kedai Melayu/Islam yang beroperasi di sana.”

“Kawasan ini memang menarik orang ramai daripada pelbagai kaum. Tetapi saya gembira apabila orang masih pandang tempat ini sebagai kawasan orang Melayu/Islam. Disebabkan itulah kita perlu pastikan perniagaan Melayu/Islam dapat dikekalkan di sini dan pertingkat kehadirannya.”
Encik Zaki Ma’arof, pengerusi One Kampong Gelam.

“Kebanyakan perniagaan Melayu masih nak terus bertapak di Kampong Gelam kerana kebanyakan daripada masyarakat kita ke sana untuk lepak dan berkumpul bersama keluarga berbanding dengan di Orchard Road, contohnya.”
Encik Muhammad Afiq Irwan, pemilik kedai makanan tradisional, Perghchicks di Haji Lane.

“Apabila kami merancang membuka perniagaan ini, kami sebenarnya ingin menyumbang semula kepada masyarakat dengan tumpuan terhadap pelanggan Melayu/Islam. Kami lihat di kawasan lain (luar Kampong Gelam), tetapi bilangan orang Islam yang ke sana tidak seramai dibandingkan dengan kawasan Kampong Gelam.”
Cik Siti Aishah Mohamad Lakhsani, pemilik kedai pastri, The French American Bakery.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg