DBS Bank dan syarikat khidmat profesional Deloitte, telah melancarkan satu alat digital percuma yang membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) menilai tahap kesediaan kemampanan mereka.
Alat Pencepat Kemampanan atau ‘Sustainability Accelerator Tool’ itu berupa satu soal selidik dalam talian yang menilai tahap kesediaan hijau sesebuah syarikat.
Sebagai permulaan, DBS dan Deloitte berhasrat menjalin kerjasama dengan 1,000 SME di Singapura sepanjang 12 bulan akan datang, menurut kededua syarikat itu pada 24 Julai.
Mulai 2025, alat tersebut, yang boleh disesuaikan kepada bahasa dan konteks serantau berbeza di seluruh Asia, akan dilancarkan di negara rantau ini yang mempunyai kehadiran DBS, lapor The Business Times (BT).
“Alat Pencepat Kemampanan ini adalah yang terkini dalam usaha berterusan kami mempersiapkan SME untuk masa depan melalui huraian praktikal dan menyeluruh,” kata Ketua Kumpulan Korporat dan Perbankan SME di DBS, Encik Koh Kar Siong.
“Dengan ini, kami ingin memperkasa perniagaan untuk mengawal perjalanan kemampanan mereka, dan bekerjasama dengan mereka dalam peralihan hijau,” tambahnya.
Pemilik SME akan menerima analisis tersusun yang dikhususkan untuk industri mengenai tahap kemampanan syarikat masing-masing, berdasarkan laporan yang dihasilkan oleh alat tersebut.
Pemilik perniagaan akan turut menerima beberapa cadangan bagi mengatasi kekurangan dalam perjalanan hijau mereka.
Contohnya, laporan itu akan menjelaskan mengenai pelbagai skim pemerintah berkaitan yang boleh dimanfaatkan SME, seperti Geran Pembangunan Perusahaan (EDG) Enterprise Singapore (EnterpriseSG).
Syarikat yang menggunakan alat tersebut juga akan dapat mengakses satu panel pakar kemampanan, termasuk pakar daripada Deloitte, yang boleh membimbing mereka dalam peralihan hijau.
SME juga boleh mendaftar bagi Program Kesediaan ESG yang diperkenalkan oleh DBS dan EnterpriseSG pada April.
Di bawah program itu, pemilik perniagaan boleh menerima latihan daripada pakar kemampanan, selain mendapatkan pinjaman pembiayaan bank itu pada kadar faedah lebih rendah.
Pemimpin kemampanan dan iklim di Deloitte Asia Tenggara, Encik Brian Ho, berkata: “Alat Pencepat Kemampanan ini cukup unik dalam keupayaannya memberi bimbingan bermakna dan praktikal kepada SME.
“Ia bukan sahaja mengenal pasti kekuatan dan kekurangan (dalam perjalanan hijau syarikat), malah memberi beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan prestasi kemampanan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg