DBS telah melancarkan satu program yang bertujuan berinteraksi dan membantu sekitar 1,000 perniagaan di Singapura dan di rantau ini menembusi pasaran baru di seluruh dunia.
Program Merapatkan Sempadan Perniagaan yang dilancarkan pada 3 Jun itu, akan dijalankan sepanjang 12 bulan akan datang.
Ia disokong oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG).
Program tersebut akan membantu perniagaan dalam tiga bidang iaitu mencari pelbagai peluang di pasaran baru; membangun dan melaksana strategi kemasukan (ke pasaran baru); dan mendalami rangkaian di darat.
Pendaftaran bagi program tersebut adalah percuma.
Interaksi dengan para pemilik perniagaan akan dilakukan melalui satu siri sesi kenal-mengenal atau networking dan pelbagai bengkel yang sebagai contoh, akan membolehkan syarikat memanfaatkan khidmat nasihat untuk menjadikan eksport mereka lebih berdaya saing menerusi perjanjian perdagangan bebas Singapura.
DBS juga akan menyediakan “interaksi dalam pasaran” di pasaran seperti China, Hong Kong, India, Indonesia dan Taiwan.
Di samping itu, perniagaan boleh memanfaatkan huraian pembiayaan daripada bank, dan sumber daripada SBF dan EnterpriseSG untuk meningkatkan operasi mereka.
Sekitar 57 peratus daripada perniagaan Singapura berminat melebarkan sayap ke luar negara untuk meraih pelbagai peluang di Asia Tenggara, menurut DBS yang memetik data daripada Tinjauan Perniagaan Nasional SBF terkini.
Namun, syarikat kini menghadapi lebih banyak cabaran daripada pasaran yang semakin tidak menentu, kos perniagaan lebih tinggi dan sumber terhad, kata DBS.
Oleh itu, program baru itu bertujuan merapatkan jurang tersebut apabila syarikat berkembang ke luar negara, tambahnya.
Pelancaran program tersebut lebih daripada sekadar “mengadakan perbualan” dengan syarikat tertentu dan mengamalkan “pemikiran programatik”, kata eksekutif kumpulan dan ketua negara DBS Singapura, Encik Han Kwee Juan, kepada The Business Times (BT).
Ia juga mengenai usaha menggalak perniagaan Singapura untuk melebarkan sayap perniagaan ke luar negara “sebagai satu kumpulan” agar para pemilik perniagaan boleh membantu satu sama lain dalam proses tersebut, tambahnya.
Satu syarikat kecil dan sederhana (SME) yang berhasrat memanfaatkan program baru DBS itu ialah wadah penjualan kereta Motorist.
Syarikat tersebut mempunyai matlamat berkembang ke 10 pasaran baru di luar negara dalam masa dua tahun akan datang, kata timbalan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu, Cik Angela Poh.
“Amat penting bagi kami untuk meluaskan (perniagaan) ke pasaran antarabangsa. (Program ini) boleh membantu mempercepat rancangan pertumbuhan kami,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg