
BANK DBS telah meminta maaf kepada pemegang saham dan pelanggan mereka kerana gangguan kepada perkhidmatan perbankan digital baru-baru ini. Bank terbesar Singapura itu berkata semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada Jumaat bahawa ia akan menubuhkan satu jawatankuasa lembaga khas untuk menyiasat punca gangguan itu. Gangguan itu telah menjejas ramai pelanggan kerana tidak dapat menjalankan aktiviti perbankan dalam talian mereka pada Rabu. Encik Piyush Gupta, Ketua Eksekutif DBS, berkata gangguan itu adalah kejadian kedua dalam tempoh 16 bulan bagi DBS. "Sebagai sebuah bank digital dan teknologi yang terkenal, ini memalukan kepada kami. Kami komited untuk melakukan yang lebih baik," kata beliau. "Memastikan perkhidmatan perbankan digital 24/7 yang tidak terganggu telah menjadi keutamaan kami. Malangnya, kami gagal dan benar-benar minta maaf," kata beliau semasa AGM itu. Pelanggan bank terbesar Singapura tidak dapat mengakses perkhidmatan dalam talian dan mudah alih DBS Digibank, serta aplikasi PayLah dan platform pelaburan popular DBS Vickers, mulai awal pagi Rabu. Gangguan itu berlarutan sehingga sekitar 5.30 petang, kata bank itu pada Jumaat. Encik Gupta berkata bahawa selepas kejadian sebelumnya pada 2021, bank itu telah bekerjasama dengan pakar-pakar bebas untuk mengukuhkan protokol pemulihan, menyokong pasukan kejuruteraan serta lebih memahami sistem pihak ketiga. "Tetapi malangnya, ia tidak mencukupi," kata beliau, sambil menambah bahawa hanya 40 peratus hingga 50 peratus daripada pelanggan mereka boleh mengakses perkhidmatan dalam talian pada Rabu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg