DBS meramalkan pulangan atas ekuiti (ROE) antara 15 peratus dengan 17 peratus dalam jangka masa sederhana, serta pendapatan lebih $10 bilion dalam jangka masa yang sama.
Sasaran ini, yang diumumkan semasa pembentangan hari pelabur DBS pada Isnin, didorong oleh penyata imbangan yang kukuh dan keupayaan teknologi yang telah diasah oleh bank itu sejak beberapa tahun yang lalu.
Saham DBS telah jatuh 8.8 peratus sejauh ini, di tengah-tengah kadar faedah yang tinggi dan kebimbangan berhubung dengan beberapa keruntuhan bank sejak awal tahun.
Keyakinan terhadap bank terjejas pada tahun ini selepas pengguna mengalami dua gangguan dalam perkhidmatan perbankan digital.
Ini menyebabkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengenakan keperluan modal tambahan ke atas DBS, menjadikan jumlah keperluan modal kawal selia tambahannya kepada kira-kira $1.6 bilion.
Ketua pegawai maklumat kumpulan dan ketua teknologi & operasi, Encik Jimmy Ng berkata bahawa ia mengambil masa untuk membina keupayaan teknologi, sama seperti mana Rom tidak dibina hanya dalam sehari.
Berbanding dengan firma teknologi besar lain seperti Alphabet dan Google, yang telah membina keupayaan teknologi mereka selama lebih 10 tahun, DBS hanya memulakan perjalanan transformasi digitalnya sembilan tahun yang lalu.
Walaupun tahun ini penuh dengan beberapa rintangan, termasuk kenaikan Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD), DBS kekal yakin dengan prospek pertumbuhannya dengan menyasarkan “peluang berpotensi tinggi dalam pasaran berkembang” seperti India, Indonesia dan Taiwan.
Menyusuli pengambilalihan Lakshmi Vilas Bank pada 2020, DBS juga bermatlamat untuk menjadi antara 10 bank sektor swasta terbaik di India.
Encik Surojit Shome, ketua negara DBS India, mengumumkan sasaran untuk menggandakan keseluruhan pinjaman dan deposit bank serta mengembangkan margin faedah bersih (NIM) bank sebanyak 100 mata asas bagi francaisnya di India, menjelang 2026.
Beliau juga menganggarkan jumlah pendapatan meningkat 2.5 kali ganda, dan keuntungan bersih meningkat tiga kali ganda kepada $375 juta, berbanding $126 juta buat masa ini.
Bagi tahun ini, DBS meramalkan ROE melebihi 17 peratus, dengan NIM bagi tahun sepenuhnya mencapai sekitar 2.05 peratus hingga 2.1 peratus.
Ia juga sedang meneliti dua bidang pertumbuhan baru – dalam pembayaran rentas sempadan yang bernilai rendah serta melalui sistem eko aset digitalnya.
DBS menjangkakan pembayaran rentas sempadan yang bernilai rendah meningkat sebanyak 50 peratus untuk mencapai lebih $40 bilion dan pendapatan yang mencecah $300 juta.
Pendekatan bagi cabang aset digitalnya pula diramalkan mencecah antara $80 juta dengan $120 juta menjelang 2025.
Saham DBS ditutup hampir 0.1 peratus lebih rendah kepada $30.91 pada Isnin.