Subuh
5:34
Syuruk
6:51
Zuhur
12:55
Asar
4:04
Maghrib
6:57
Isyak
8:06
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Ekonomi & Kerja
29
0

DPPMS salur lebih banyak sumber untuk perluas niaga halal anggota

Termasuk melantik seorang pakar bagi sektor halal
Jul 21, 2022 | 05:30 AM

LEBIH banyak sumber disalurkan oleh Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) bagi mengembangkan perniagaan halal bagi anggotanya, termasuk melantik Eksekutif Kediaman (Executive-In-Residence - EIR) bagi sektor halal.

EIR, sebuah program yang disokong Enterprise Singapore (ESG), akan memberi bimbingan kepada anggota membangunkan perniagaan halal mereka sejajar dengan langkah Dewan mengenal pasti Halal dan Penyejagatan sebagai industri utama pertumbuhan.

Kelmarin, DPPMS melantik seorang veteran dalam sektor halal, Encik Ronnie Faizal Tan, perunding cara halal, sebagai EIR.

Encik Faizal, 54 tahun, seorang mualaf merupakan mantan pengarah urusan My Outlets Global Halal Hub di Viva Business Park, Chai Chee, dan pernah menjadi Naib Presiden Hao Halal Hub. Beliau mempunyai pengalaman dan rangkaian luas dengan rakan dagangan di luar negara termasuk China, Eropah, Timur Tengah dan Malaysia hasil penceburannya dalam bidang halal selama sedekad.

Mengulas pelantikan itu, Presiden DPPMS, Encik Farid Khan berkata:

"Encik Faizal membawa pengalaman luas dan keterhubungan dalam sistem eko Halal yang akan membantu anggota DPPMS dalam pertumbuhan perniagaan mereka. Oleh sebab pernah memegang pelbagai jawatan dalam industri halal, beliau dapat memberikan pandangan yang bernilai berdasarkan pengetahuan daripada pelbagai bidang.''

Program EIR melengkapi pelbagai daya usaha halal lain oleh DPPMS seperti Skim Perniagaan Milik Muslim dan kursus perkembangan keupayaan berdasarkan industri halal yang dikendalikan Akademi DPPMS.

Selain memberikan bimbingan dan sokongan kepada SME untuk mengembangkan perniagaan halal mereka, EIR akan mengenal pasti dan bekerjasama dengan perniagaan bagi membaiki bidang-bidang tertentu dan membimbing strategi dalam industri halal.

Beliau juga akan menyelaras dan menyepadukan usaha membangunkan rangkaian dan jaringan niaga dengan agensi, badan dan firma tempatan dan antarabangsa.

Mengulas pelantikan itu, Encik Faizal ketika dihubungi semalam berkata beliau dilantik setelah melalui beberapa pusingan temu ramah dengan lembaga DPPMS.

Pengalamannya yang luas dalam pemasaran halal dan rangkaian niaga halal dari luar negara boleh membantu SME yang ingin mengembangkan pasaran halal mereka.

"Berdasarkan pengamatan saya, SME boleh memanfaatkan pasaran lebih luas seperti pasaran bukan Melayu/Islam di Singapura serta pasaran antarabangsa. Contohnya, mereka boleh menyertai ekspo dagangan yang dipasarkan bagi pasaran umum dan menjual produk mereka di luar negara. Bungkusan makanan mereka juga boleh diperhalusi bagi menarik pasaran umum,'' katanya, yang juga seorang perunding cara halal bebas bagi beberapa syarikat termasuk Asyura Paste dan Yi Zun Noodle yang dimiliki Muslim dari China.

Memberi contoh, beliau berkata produk Asyura seperti pes mi rebus diminati masyarakat bukan Melayu.

Lantas, bagi mengembangkan pasarannya, Asyura telah menyertai Yummy Food Expo.

Encik Faizal juga menyatakan beliau mempunyai jaringan rangkaian niaga dengan agensi dan firma di negara seperti Jepun, Australia, Eropah seperti Poland dan Sepanyol, serta Timur Tengah seperti Arab Saudi, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) yang boleh dimanfaatkan SME.


DAYA USAHA BAGI BANTU SME DALAM SEKTOR HALAL

  • Beri bimbingan dan sokongan kepada SME untuk berkembang dalam industri Halal.
  • Kenal pasti dan bekerjasama dengan perniagaan dalam bidang peningkatan dan pelaksanaan strategi untuk industri Halal.
  • Selaras dan sepadukan usaha untuk membina hubungan dengan rakan berkepentingan utama, rakan kongsi antarabangsa, dan pelbagai agensi.
  • Untuk maklumat lanjut, sila lungsuri https://smcci.org.sg/executive-in-residence/.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3