Perniagaan Melayu/Islam boleh berkembang ke pasaran Islam antarabangsa yang lebih luas seperti Pakistan dan Arab Saudi melalui inisiatif rangkaian baru Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) yang dipanggil Chamber Circle.
Inisiatif itu terbuka kepada usahawan antarabangsa serta mereka yang menawarkan perkhidmatan yang relevan dengan masyarakat, termasuk usahawan dalam bidang Makanan & Minuman (F&B) dan usahawan muda.
Chamber Circle menyediakan platform yang membolehkan perniagaan mendapat akses kepada peluang berharga untuk perkongsian strategik, pandangan dan kerjasama industri.
Menurut satu kenyataan DPPMS, inisiatif itu diadakan sebagai sebahagian daripada misinya untuk memupuk budaya keusahawanan yang dinamik dalam kalangan perusahaan Melayu/Muslim.
Sesi itu direka khas bagi menangani cabaran dan peluang unik yang dihadapi oleh perniagaan itu.
Sesi pertama Chamber Circle, yang ditujukan kepada perniagaan Pakistan dan Arab, akan diadakan pada 22 Januari, di Red Velvet Ballroom, Hotel Village.
Presiden DPPMS, Encik Abu Bakar Mohd Nor, berkata dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan datang, terdapat keperluan lebih besar untuk memupuk kerjasama yang melangkaui sempadan.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha anggota DPPMS untuk melibatkan diri kepada lebih ramai perniagaan Muslim dan memperkenalkan mereka kepada rangkaian luas perkhidmatan kami,” jelas Encik Abu Bakar.
“DPPMS komited untuk memastikan perniagaan, terutama perusahaan Melayu/Islam, dapat memanfaatkan peluang ini dan berkembang maju dalam persekitaran global yang kompetitif,” tambah beliau.
Semasa sesi rangkaian dinamik itu, para hadirin berpeluang berhubung secara bersua muka dengan ahli lembaga DPPMS, pemimpin perniagaan dan pakar industri.
Acara itu berperanan sebagai platform untuk bertukar idea, membina hubungan yang bermakna dan berkongsi amalan terbaik.
Ia juga memberikan panduan dalam mengemudi peraturan tempatan dan mengakses sumber seperti pembiayaan, program latihan dan cerapan pasaran.
Dengan memanfaatkan inisiatif seperti pensijilan ‘Muslim-Owned Enterprise’, peserta dapat meneroka peluang perkongsian, memperoleh pandangan perniagaan yang berharga, serta meningkatkan nama dan pencapaian mereka di pasaran tempatan dan serantau.
DPPMS mengalu-alukan mereka yang berminat untuk mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut, menggunakan pautan bit.ly/SMCCIChamberCircle1.
Mereka juga boleh mendaftar untuk sesi-sesi lain Chamber Circle – bagi Perniagaan F&B pada 3 Februari melalui pautan bit.ly/SMCCIChamberCircle2; bagi Perniagaan India pada 4 Februari melalui pautan bit.ly/SMCCIChamberCircle3; dan bagi usahawan muda pada 12 Februari melalui pautan bit.ly/SMCCIChamberCircle5.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg