Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

EDB suntik $32j lagi bantu syarikat bekerjasama, berinovasi

Pengagihan dana adalah 60% lebih tinggi berbanding $20 juta yang disuntik pada 2022
Aug 29, 2024 | 3:55 PM
Sejak program Pencetus Usaha Inovasi Korporat (CVL) dilancarkan, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) telah menyokong 24 syarikat dalam memulakan 14 usaha perniagaan baru dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan data, teknologi iklim dan teknologi pertanian.
Sejak program Pencetus Usaha Inovasi Korporat (CVL) dilancarkan, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) telah menyokong 24 syarikat dalam memulakan 14 usaha perniagaan baru dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan data, teknologi iklim dan teknologi pertanian. - Foto BT

Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) akan menyuntik lagi $32 juta sepanjang dua tahun akan datang untuk meluaskan lagi program usahasama perniagaannya.

Program yang digelar Pencetus Usaha Inovasi Korporat (CVL) 3.0 EDB itu akan turut memudahkan syarikat yang sudah bertapak di Singapura, termasuk syarikat berbilang negara (MNC) untuk menjalin kerjasama dengan syarikat pemula.

Melalui program CVL, pasukan New Ventures EDB bersama sembilan rakan kongsi yang dilantik akan bekerjasama dengan sebilangan syarikat terpilih untuk berinovasi dalam pelbagai bidang pertumbuhan baru.

Rakan kongsi tersebut terdiri daripada lima rakan kongsi studio usahasama, dan empat rakan kongsi inovasi terbuka.

Kesemua rakan kongsi itu akan membimbing sebilangan syarikat terpilih untuk mewujudkan perniagaan baru di samping bekerjasama dengan syarikat pemula, lapor The Business Times (BT).

Pengagihan dana ketiga sebanyak $32 juta itu adalah 60 peratus lebih tinggi berbanding $20 juta yang disuntik bagi edisi kedua program CVL pada 2022.

CVL dilancarkan pada Mei 2021 sebagai satu projek perintis dengan pembiayaan $10 juta.

Antara lain, ia menggalak syarikat di Singapura mendahului persaingan dengan memperkenalkan produk, perkhidmatan dan model perniagaan inovatif.

“Apa yang kami dengar daripada syarikat ialah wujudnya jangkaan berlainan antara syarikat dengan syarikat pemula,” kata pengarah urusan EDB, Cik Jacqueline Poh, semasa pelancaran CVL 3.0 pada 29 Ogos.

Antara maklum balas yang diterima termasuk proses dalaman sesebuah syarikat yang tidak mesra syarikat pemula, dan kesukaran memadankan syarikat pemula bersesuaian yang dapat menghuraikan masalah yang dihadapi syarikat.

Untuk menangani isu tersebut, Cik Poh berkata CVL 3.0 akan memperkenalkan satu program pembinaan keupayaan untuk syarikat tempatan, membolehkannya mewujudkan amalan terbaik dalam menjalin kerjasama dengan syarikat pemula, di samping memudahkan syarikat di sini mendapat khidmat syarikat pemula bermutu tinggi.

EDB akan membiayai sehingga separuh kos tenaga kerja dan khidmat profesional, dengan sokongan geran tambahan bagi syarikat terpilih menjalankan sesuatu projek perintis bersama syarikat pemula.

Syarikat pemula akan turut “meraih manfaat besar” daripada kerjasama dan sokongan MNC.

Kerjasama sedemikian diharap dapat membantu syarikat pemula mengembangkan perniagaan dari Singapura, tambah Cik Poh.

Sejak CVL dilancarkan, EDB telah menyokong 24 syarikat dalam memulakan 14 usaha perniagaan baru dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan data, teknologi iklim dan teknologi pertanian.

Ia merancang membantu lebih banyak syarikat melancarkan perniagaan baru pada masa depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg