Pertumbuhan ekonomi Singapura sepanjang tiga bulan lalu merancakkan lagi kadar perkembangan ekonomi negara yang terpantas sepanjang enam suku lalu.
Ini sedang permintaan barangan elektronik yang kian pulih di seluruh dunia membuat industri semikonduktor Singapura kembali memacu pertumbuhan ekonomi.
Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) meningkat 2.9 pada suku kedua 2024, berbanding suku kedua 2023, menurut anggaran awal Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 12 Julai.
Pertumbuhan GDP itu dicatat selepas pertumbuhan suku pertama yang disemak menjadi lebih tinggi sedikit kepada 3 peratus – kadar terpantas sejak perkembangan 4.2 peratus pada suku ketiga 2022.
Bagi suku ke suku setelah diselaraskan secara musiman, ekonomi berkembang 0.4 peratus pada suku kedua 2024 – paling tinggi sejak suku kedua 2023 dan naik sedikit daripada pertumbuhan yang disemak menjadi 0.3 peratus pada suku pertama 2024.
Pertumbuhan pada suku kedua 2024 berbanding tempoh sama bagi 2023, adalah lebih tinggi daripada ramalan 2.7 peratus oleh pakar ekonomi yang ditinjau Bloomberg, manakala pertumbuhan suku ke suku sejajar dengan jangkaan mereka, lapor The Straits Times (ST).
Pertumbuhan tersebut disokong oleh peningkatan 0.5 peratus dalam perkilangan berbanding tempoh sama setahun lalu, selepas ia menguncup 1.7 peratus dalam tiga bulan pertama 2024.
Seiring dengan sektor pembinaan yang meningkat 4.3 peratus, industri pengeluaran barangan secara keseluruhan berkembang 1.3 peratus pada suku kedua 2024, berbanding penguncupan 0.7 peratus bagi tempoh sama setahun lalu.
Semua kelompok dalam sektor perkilangan berkembang pada suku kedua, kecuali perkilangan bioperubatan dan kejuruteraan jitu, menurut MTI.
Pertumbuhan GDP pada suku kedua turut dibantu oleh kumpulan kelompok terdiri daripada sektor maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans, serta perkhidmatan profesional.
Secara bersama, ia berkembang 5.6 peratus berbanding tempoh yang sama setahun lalu, melanjutkan pertumbuhan 5.7 peratus pada suku pertama.
Bagaimanapun, pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan susut kepada 1.9 peratus daripada 3 peratus pada suku pertama.
Sektor tersebut terdiri daripada khidmat penginapan dan makanan, hartanah, khidmat pentadbiran dan sokongan, serta perkhidmatan lain.
Oxford Economics menaikkan ramalan GDP 2024 Singapura kepada 2.5 peratus daripada 2.2 peratus.
Seorang pakar ekonomi di firma penasihat bebas yang berpangkalan di Britain, Cik Sheana Yue, berkata pertumbuhan perkilangan bermakna eksport barangan dijangka terus memberi rangsangan yang amat diperlukan kepada ekonomi, hasil pertumbuhan dalam kitaran cip di seluruh dunia.
Bagaimanapun, permintaan domestik Singapura mungkin terus lembap.
“Permintaan tenaga kerja lebih lemah dan kadar faedah tinggi mungkin menghalang pelaburan dan membuat pengguna di Singapura terus berhati-hati,” kata Cik Yue.
Ketua penyelidikan dan strategi di OCBC Bank, Cik Selena Ling, berkata persekitaran ekonomi luar kini bertambah baik dengan lebih ramai pelabur percaya bahawa kenaikan inflasi akan berakhir tanpa kemelesetan ekonomi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg