Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eksport utama S’pura turun 8.7% pada Jun

Jul 17, 2024 | 4:57 PM
Secara keseluruhan, kiriman ke 10 pasaran utama Singapura merosot pada Jun.
Secara keseluruhan, kiriman ke 10 pasaran utama Singapura merosot pada Jun. - Foto ST

Eksport utama Singapura terus merosot bagi lima bulan berturut-turut pada Jun.

Eksport domestik bukan minyak (Nodx) Singapura turun 8.7 peratus berbanding Jun 2023, kemerosotan lebih curam berbanding penurunan yang disemak menjadi 0.7 peratus pada Mei 2024.

Penurunan tersebut juga lebih tinggi berbanding kemerosotan 1.3 peratus yang diramal pakar ekonomi dalam tinjauan Bloomberg.

Nodx yang merosot itu pada umumnya disebabkan eksport barangan bukan elektronik, terutama produk yang lebih tidak menentu seperti emas bukan kewangan, manakala eksport elektronik juga menguncup disebabkan asas tinggi setahun lalu, menurut agensi perdagangan Enterprise Singapore pada 17 Julai, lapor The Straits Times (ST).

Eksport elektronik merosot 9.5 peratus pada Jun, mengakhiri pertumbuhan 19.6 peratus pada Mei.

Penguncupan tersebut pada umumnya didorong oleh kiriman peralatan telekomunikasi yang menjunam 50.5 peratus; produk media cakera yang turun 25.4 peratus; dan litar bersepadu – juga dikenali sebagai cip atau semikonduktor – yang susut 8 peratus.

Pakar ekonomi DBS Bank, Encik Chua Han Teng, tetap yakin terhadap kelakonan kiriman elektronik Singapura, sambil menyatakan bahawa ia dijangka meraih manfaat daripada peningkatan kitaran barangan teknologi di seluruh dunia ketika ini.

“Kami menjangka permintaan teknologi di seluruh dunia akan disokong oleh penggantian telefon bijak dan komputer peribadi (PC), serta penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas,” katanya.

Pakar ekonomi bersekutu UOB, Encik Jester Koh, memberi pandangan lebih berhati-hati dengan menyatakan prospek pemulihan dalam segmen elektronik mungkin tertangguh.

Menurutnya, pemulihan segmen elektronik Singapura mungkin mengambil masa lebih lama berbanding Korea Selatan dan Taiwan.

Antara lain, ini kerana ekosistem semikonduktor Singapura tidak meraih manfaat langsung daripada permintaan berkaitan AI, tetapi secara tidak langsung melalui barangan elektronik pengguna seperti PC dan telefon bijak, jelasnya.

Pada Jun, eksport emas bukan kewangan menjunam 51.1 peratus, menjejas kiriman barangan bukan elektronik yang menyusut 8.5 peratus. Ia merosot 6.1 peratus pada Mei.

Penguncupan dalam Nodx bukan elektronik juga didorong oleh jentera khusus, yang turun 10.3 peratus.

Secara keseluruhan, kiriman ke 10 pasaran utama Singapura merosot pada Jun.

Paling ketara, kiriman barangan ke Amerika Syarikat turun 21.3 peratus, mengakhiri pertumbuhan 12.1 peratus pada Mei.

Kiriman ke China susut 11.2 peratus, selepas penguncupan 22.2 peratus pada Mei.

Bagaimanapun, eksport Singapura ke Kesatuan Eropah (EU) memberi gambaran cerah – ia berkembang 6.2 peratus, manakala kiriman barangan ke Malaysia, Thailand dan Indonesia turut meningkat.

Pakar ekonomi Maybank, Encik Chua Hak Bin, menarik perhatian bahawa kesesakan pelabuhan akibat krisis di Laut Merah mungkin menjejas pemulihan eksport Singapura.

“Gangguan ini mungkin berterusan selama beberapa bulan tetapi juga boleh menunjukkan permintaan terpendam, yang berpotensi meningkatkan jumlah eksport menjelang akhir suku ketiga tahun ini (2024).”

Dari segi nilai, Nodx pada Jun mencapai $13.8 bilion, agak sama seperti Nodx pada Mei, namun ia lebih rendah berbanding Jun 2023 yang mencecah $14.4 bilion, dan purata $14.5 bilion sepanjang 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg