DUBAI: Syarikat penerbangan Teluk, Emirates dan Etihad Airways, telah melanjutkan tempoh pengurangan gaji untuk kakitangan mereka hingga September ini sedang mereka berusaha menyimpan wang tunai dalam mengharungi cabaran akibat penularan koronavirus sedunia.
Industri penerbangan antara yang paling teruk terjejas akibat wabak tersebut, yang telah menyebabkan permintaan perjalanan menjunam hingga memaksa syarikat penerbangan utama memberhentikan kakitangan dan meminta jaminan kewangan pemerintah.
Syarikat penerbangan Emirates dan Etihad telah beroperasi secara terhad, kebanyakannya perkhidmatan ke luar dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) sejak pesawat penumpang 'ditambat' dari Mac lalu.
Mereka dijadualkan memulakan semula beberapa penerbangan penghubung bulan ini setelah UAE minggu lalu menamatkan penggantungan operasi perkhidmatan di mana penumpang berhenti di negara ini untuk menukar pesawat, atau untuk membolehkan pesawat mengisi minyak.
Emirates memberitahu pekerjanya semalam bahawa ia akan melanjutkan pemotongan gaji tiga bulan yang seharusnya berakhir pada bulan ini ke 30 September 2020, menurut e-mel dalaman yang dilihat oleh agensi berita Reuters.
Dalam beberapa kes, pemotongan gaji juga akan diperdebatkan, dengan beberapa gaji pokok dikurangkan sebanyak 50 peratus, kata e-mel kepada pekerja Emirates Group.
Keputusan itu dibuat setelah meneliti semua kemungkinan pilihan untuk mengekalkan kedudukan tunai, katanya.
Emirates Group milik kerajaan Dubai, menggajikan 105,000 kakitangan sehingga Mac lalu, termasuk syarikat penerbangan di antara asetnya, tidak segera memberi jawapan yang diminta menerusi e-mel.
Emirates sebelumnya telah mengurangkan gaji pokok sebanyak 25 peratus hingga 50 peratus selama tiga bulan dari bulan April, dengan pekerja baharu dikecualikan.
Etihad Airways yang dimiliki kerajaan Abu Dhabi telah melanjutkan pemotongan gajinya antara 25 peratus dan 50 peratus hingga September ini, kata seorang jurucakap, kerana mempertimbangkan semua pilihan untuk melindungi pekerjaan dan memelihara wang tunai.
Syarikat penerbangan itu pada asalnya mengurangkan gaji untuk April sahaja.
Etihad, minggu lalu, memberhentikan beberapa anak kapal dan pihaknya tidak merancang pengurangan pekerja lagi, menurut e-mel yang dilihat oleh Reuters.
Jurucakap itu menyatakan, terdapat banyak pekerja yang tidak lagi diperlukan khidmat mereka dalam beberapa bidang penerbangan, dan bulan lalu sumber memberitahu Reuters, Etihad merancang untuk menghentikan 1,200 pekerja.
Seperti syarikat penerbangan lain, Emirates dan Etihad telah menghentikan pekerja kerana kesan perniagaannya.
Syarikat penerbangan lain di Timur Tengah seperti Qatar Airways, menyatakan ia boleh menghentikan sehingga 20 peratus pekerjanya. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg