MELIHAT ramai rakan peniaga yang terjejas dengan pembatalan Bazar Ramadan, terdetik di hati usahawan terkenal Cik Fatimah Mohsin mengenai cara untuk membantu mereka lebih-lebih lagi peniaga kecil-kecilan di rumah.

Ada antara mereka merupakan pengikutnya di Instagram yang telah melaburkan wang bagi membeli stok untuk dijual di bazar.

Justeru beliau memikirkan cara terbaik ialah membantu mereka memasarkan produk itu di kedainya di Fatimah Mohsin The Wedding Gallery dan PropUp Store di 148 Arab Street dan membantu mereka dengan penjenamaan di media sosial.

Dengan memperkenalkan konsep Fab Market, beliau berharap menarik koleksi jenama-jenama produk bermutu untuk dipasarkan.

"Selama menjadi peniaga sejak 20 tahun lalu sebagai penata hias dan pereka fesyen, apa yang saya pelajari ialah semasa tempoh sukar ini, kita harus kekal positif, inovatif dan proaktif. Melalui Fab Market, saya berharap dapat memasarkan produk bermutu untuk dipasarkan secara meluas dalam saluran media sosial saya,'' ujar Cik Fatimah, 44 tahun.

Beliau menambah peniaga kecil-kecilan ini yang menjalankan perniagaan di rumah tidak berdaftar, lantas tidak akan dapat memanfaatkan skim-skim pemerintah seperti Skim Sokongan Pekerjaan (JSS) dalam tempoh 'pemutus litar' ini.

Dengan bekerjasama dengan peniaga yang mempunyai kedai fizikal seperti beliau, beliau berharap mereka akan dapat membantu mereka mengharungi tempoh yang sukar ini.

Dengan meletakkan produk-produk peniaga itu di kedainya di PropUp Store di Arab Street dengan hiasan dan visual yang baik dan kemudian menggunakan video bagi merakam produk itu, produk itu akan menjadi lebih menarik berbanding jika hanya dipasarkan di rumah.

Oleh kerana banyak bazar Ramadan dalam talian 'tumbuh bak cendawan selepas hujan' ketika ini, Cik Fatimah menyatakan beliau ingin melakukan satu perbezaan dengan meletakkan produk itu di tempat yang cantik dipandang mata.

Beliau juga hanya ingin menumpukan produk-produk bermutu dan akan memilih sendiri produk itu dari pakaian dan perhiasan rumah.

Ketika ini, lima jenama telah pun dipilih bagi menyertai Fab Market.

Bahkan, beliau akan mengadakan sesi 'live chat' dengan pemilik jenama itu setiap minggu di IGTV@FatimahMohsin, serta pemasaran harian di IG Stories @Fatimah Mohsin dan @Propupstore yang masing-masing mempunyai lebih 50,000 dan 21,000 pengikut.

Beliau berharap usaha itu akan meningkatkan jenama peniaga kecil-kecilan yang mempunyai produk yang bermutu untuk dijual.

"Telah lama saya ingin membantu peniaga dalam penjenamaan produk mereka. Jika ia berjaya, saya berharap konsep ini akan dapat diperkenal dan dipasarkan di luar negara,'' tambah Cik Fatimah, yang akan mengenakan bayaran tetap bagi peniaga terpilih selama mereka meletakkan produk mereka di kedainya itu.

Fab Market akan diadakan dari 23 April hingga 23 Mei ini.

"Dalam tempoh sukar ini, kita perlu bersatu. Saya yakin jika kita bersama-sama melaluinya, kita akan berjaya,'' tambahnya.

" Selama menjadi peniaga sejak 20 tahun lalu sebagai penata hias dan pereka fesyen, apa yang saya pelajari ialah semasa tempoh sukar ini, kita harus kekal positif, inovatif dan proaktif. Melalui Fab Market, saya berharap dapat memasarkan produk bermutu untuk dipasarkan secara meluas dalam saluran media sosial saya. - Cik Fatimah Mohsin, pemilik butik Fatimah Mohsin The Wedding Gallery dan PropUp Store.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti