Firma keselamatan siber Amerika Syarikat, Avepoint, sedang berusaha berkembang di Singapura selepas menjadi syarikat pertama yang disenaraikan di kedua-dua Nasdaq dan Bursa Singapura (SGX).
Pengasas bersama dan ketua eksekutifnya, Dr Jiang Tianyi, memberitahu The Straits Times pada 19 September bahawa hab penyelidikan dan pembangunan firma itu di Singapura, yang merupakan ibu pejabatnya di Asia, menjana harta intelek yang ketara hasil bekerjasama dengan pemerintah, institut pengajian tinggi dan rakan komersial seperti NTUC LearningHub.
“Dalam era kecerdasan buatan (AI), meningkatkan kemahiran tenaga kerja adalah amat mustahak, dan teknologi boleh memainkan peranan penting dalam hal ini. Itulah sebabnya Singapura akan terus menjadi tempat bagi kami melabur dan mengembangkan kehadiran kami memandangkan inovasi unik dan harta intelek yang kami mampu hasilkan di sini,” katanya.
Dr Jiang menambah bahawa hab itu, yang ditubuhkan di Fusionopolis pada 2022, akan meningkatkan bilangan pekerjanya daripada kira-kira 300 kepada 500 orang menjelang 2026.
AvePoint membuat kemunculan sulung dagangannya di SGX pada 19 September, dibuka pada harga $20.20 yang kemudian turun ke $19.50 pada 11.30 pagi, sepadan dengan harga tawarannya.
Saham itu ditutup pada harga $19.70.
Saham Nasdaq AvePoint ditutup 3.4 peratus lebih tinggi pada AS$15.96 pada 18 September.
Tawaran sahamnya di Singapura, yang tiga kali melebihi langganan, dibuka hanya kepada pelabur institusi.
Firma itu, dengan Singapura sebagai penyenaraian kedua, tidak mempunyai dasar dividen dan tidak akan menerima sebarang hasil daripada tawaran tersebut, kerana penjualan sahamnya melibatkan pemilik sedia ada, termasuk Dr Jiang.
AvePoint diasaskan pada 2001 di New Jersey, Amerika dan membantu pertubuhan melindungi dan mengurus data dan aset kritikal mereka.
Lebih 25,000 pelanggan dan 5,000 rakan kongsi di serata dunia menggunakan AvePoint untuk melindungi wadah kerjasama Microsoft, Google, Salesforce dan lain-lain.
Pada suku kedua 2025, pendapatan firma itu meningkat 31 peratus kepada AS$102 juta ($131 juta) daripada AS$78 juta setahun sebelumnya.
Ia melaporkan pendapatan AS$2.7 juta, membalikkan kerugian AS$12.8 juta dalam tempoh sama pada 2024.
Dr Jiang berkata keputusan AvePoint untuk menyenaraikan syarikatnya di Singapura tidak didorong oleh Program Pembangunan Pasaran Ekuiti Penguasa Kewangan Singapura yang diumumkan pada Februari kerana firma itu menyasarkan pelabur institusi besar dan bukannya pelabur runcit.
AvePoint menerima pelaburan daripada dana Anchor Fund 65 Equity Partners pada September 2023.
Mandat dana itu adalah untuk menyokong syarikat dan menarik mereka untuk disenaraikan di SGX.
“Tetapi langkah itu akan menggalakkan pelabur lain datang ke Singapura – kami percaya kami akan menjadi yang pertama di antara ramai, menyumbang kepada apa yang kami gelar sebagai penyegaran SGX,” kata Dr Jiang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg