Sebuah syarikat kewangan terkemuka yang menyediakan khidmat kewangan, State Street, kini menawarkan khidmat pelaburan berlandaskan syariah, yang lebih meluas di rantau Asia.
Menurut syarikat itu, ia berhasrat menawarkan khidmat tersebut setelah meraih pensijilan patuh syariah daripada syarikat perkhidmatan penasihat syariah, Amanie Advisors, yang berpangkalan di Malaysia.
State Street yang beribu pejabat di Boston, Amerika Syarikat, menyediakan khidmat jagaan dan pentadbiran dana patuh syariah di seluruh dunia.
Dalam satu kenyataan, State Street menyatakan ia berminat menawarkan khidmat pelaburan Islam lebih meluas, memandangkan pertumbuhan dalam bilangan dan harta kekayaan penduduk Islam di seluruh dunia, selain prospek kewangan Islam yang positif.
Ia juga melihat minat semakin meningkat terutama dalam kalangan pelabur di Malaysia dan Brunei yang ingin melabur dalam aset Islam yang menepati prinsip syariah, tambahnya.
“Kami gembira meraih pensijilan ini, yang mengukuhkan lagi keupayaan kami untuk mengurus aset pelabur seiring piawaian terbaik bagi kewangan Islam.
“Ia (pensijilan ini) diraih ketika kami melihat minat yang semakin meningkat terutama di Malaysia dan Brunei, dalam perkhidmatan bagi aset Islam yang mematuhi prinsip syariah,” kata Ketua Asia Pasifik di State Street, Encik Stefan Gmuer.
State Street memulakan perniagaannya di Malaysia pada 1996 dan di Brunei pada 2011 dengan menawarkan pelbagai khidmat pelaburan dan huraian perdagangan kepada pelabur institusi.
Menurut syarikat penilaian kredit S&P Global Ratings, aset kewangan Islam dijangka mencatat pertumbuhan satu digit tinggi pada 2024 dan 2025.
Pada jangka panjang, Kumpulan Bursa Saham London menjangka asas aset kewangan Islam akan berkembang daripada $4.5 trilion pada 2022 kepada $6.67 trilion menjelang 2027.
Menurut Encik Gmuer, industri kewangan Islam sedunia mengalami pertumbuhan kukuh sejak beberapa tahun lalu, termasuk pasaran di Timur Tengah, Amerika dan Britain.
Industri tersebut diramal terus meningkat, didorong oleh kadar faedah yang dijangka berkurangan, selain minat pelabur untuk menceburi pelaburan dalam pasaran baru muncul, tambah beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amanie Advisors, Cik Suhaida Mahpot, berkata dalam satu kenyataan: “Memandangkan pasaran kewangan Islam terus berkembang, kami ingin sekali menjalin kerjasama berterusan dalam memajukan huraian kewangan patuh syariah.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg