Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma petrokimia Saudi buka kilang buat resin $220j di S’pura

Low Yen Ling: Pembukaan kilang gariskan peranan S’pura sebagai pintu masuk ke Asia, hab terkemuka bagi perusahaan kimia
Nov 7, 2024 | 4:32 PM
Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, dan ketua eksekutif SABIC, Encik Abdulrahman Al-Fageeh, menghadiri majlis pembukaan rasmi kemudahan syarikat itu pada 7 November.
Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, dan ketua eksekutif SABIC, Encik Abdulrahman Al-Fageeh, menghadiri majlis pembukaan rasmi kemudahan syarikat itu pada 7 November. - Foto ST

Sebuah syarikat gergasi petrokimia Arab Saudi secara rasmi membuka kemudahan baru membuat resin yang bernilai $220 juta di Singapura pada 7 November.

Kilang sembilan tingkat di Pioneer itu – kilang kedua Saudi Basic Industries Corporation (SABIC) di Singapura – akan menghasilkan sejenis resin berkekuatan tinggi yang digunakan dalam perusahaan seperti aeroangkasa, penjagaan kesihatan dan kenderaan elektrik (EV).

Kemudahan itu, yang mula beroperasi pada September 2023, sudah pun mengeluarkan 8,000 tan resin dan dijangka meningkatkan jumlah keseluruhan keluaran SABIC lebih daripada 50 peratus, lapor The Straits Times.

Resin itu, yang dikenali sebagai ULTEM, juga dihasilkan di kemudahan SABIC di Indiana, Amerika Syarikat.

SABIC enggan mendedahkan bilangan kakitangan di kemudahan baru itu tetapi berkata ia mempunyai rancangan untuk mengembangkan jumlah tenaga kerjanya di Singapura yang lebih daripada 300 orang, sambil menambah jawatan seperti jurutera, saintis dan pakar kimia.

Ketua eksekutifnya, Encik Abdulrahman Al-Fageeh, berkata kilang baru itu bertujuan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi bahan termoplastik bermutu tinggi daripada perusahaan berteknologi tinggi dan pembuatan di rantau Asia-Pasifik.

“Kemudahan baru ini sangat sesuai dengan pembuatan berteknologi tinggi yang berlaku di kawasan Singapura, menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

“(Ia juga) mengukuhkan peranan utama Singapura dengan perjanjian perdagangan yang meluas di seluruh rantau ini.”

Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, berkata di majlis perasmian itu bahawa perusahaan pembuatan telah menjadi asas ekonomi Singapura.

Menurut beliau, sektor tenaga dan kimia menyumbang 3 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), menjadikannya penyumbang kedua terbesar secara keseluruhan.

Bahan kimia merangkumi bahagian terbesar daripada jumlah komitmen pelaburan aset tetap Singapura, berjumlah $4.5 bilion pada tahun kewangan 2023.

“Melihat ke hadapan, pembandaran pesat di Asia dan permintaan yang meningkat untuk produk berteknologi tinggi seperti EV membuka peluang pertumbuhan yang ketara,” kata Cik Low.

“Syarikat seperti SABIC, yang produknya memenuhi permintaan pasaran ini, berada pada kedudukan yang baik untuk berkembang... pembukaan kemudahan baru SABIC menggariskan peranan Singapura sebagai pintu masuk ke Asia dan hab terkemuka bagi perusahaan kimia.”

SABIC, yang berpangkalan di ibu negara Arab Saudi, Riyadh, menggajikan 31,000 kakitangan di serata dunia dan mempunyai pelanggan di lebih 140 negara.

Firma itu mahir dalam pengeluaran bahan kimia, komoditi dan plastik berprestasi tinggi, serta baja.

SABIC melaporkan keuntungan bersih 1 bilion riyal ($354 juta) untuk tiga bulan hingga 30 September, mengatasi kerugian 2.87 bilion riyal dalam tempoh yang sama pada 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg