Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fokus yang tinggi, kunci kejayaan dalam pelaburan

Tumpu perhatian hanya kepada perkara yang sepatutnya, lebih-lebih lagi dalam era lambakan maklumat
Jan 5, 2025 | 5:30 AM
Pelabur yang bijak perlu menyelidik tentang pasukan pengurusan di sebalik sesebuah syarikat - pastikan mereka mempunyai integriti yang tinggi, ada perancangan kewangan yang kukuh, serta telah merangka pelan tindakan untuk melaksanakan matlamat mereka.
Pelabur yang bijak perlu menyelidik tentang pasukan pengurusan di sebalik sesebuah syarikat - pastikan mereka mempunyai integriti yang tinggi, ada perancangan kewangan yang kukuh, serta telah merangka pelan tindakan untuk melaksanakan matlamat mereka. - Foto ADOBE STOCK

Pengasas bersama Microsoft, Encik Bill Gates, dan pelabur terkenal, Encik Warren Buffett pernah ditanya secara berasingan, untuk menyatakan satu perkataan yang menjadi kunci kejayaan mereka.

Menariknya, kedua-dua mereka memberikan jawapan yang sama iaitu fokus.

Dalam dunia pelaburan, segelintir pelabur sahaja yang mampu menandingi rekod Encik Buffett. 

Sepanjang tempoh hampir 60 tahun dari 1965 hingga 2023, ‘guru’ pelaburan ini telah berjaya meningkatkan nilai pasaran syarikatnya, Berkshire Hathaway, sebanyak hampir 20 peratus setahun – sekitar dua kali ganda pulangan indeks pasaran saham penanda aras S&P 500.

Kunci kepada kejayaan beliau adalah dengan memberi tumpuan kepada perkara yang sepatutnya.

Dalam era lambakan maklumat, fokus, atau tumpuan adalah satu aspek yang semakin meningkat tahap kepentingannya berbanding zaman dahulu.

Fokus dalam mengatakan ‘tidak’

Apple, syarikat paling bernilai di dunia, meraih kejayaannya melalui beberapa produk popular, seperti iPhone, iPad dan Mac. Fokus tanpa henti syarikat ini dalam menghasilkan produk terbaik telah membawa mereka ke puncak kejayaan.

Tidak ramai yang tahu bahawa di sebalik kejayaan Apple, terdapat proses dan prosedur yang ketat untuk menyingkirkan ratusan idea, supaya tumpuan mereka tidak beralih daripada mengembangkan beberapa idea bernas yang terpilih.

Malah, pengasas bersama Apple, mendiang Steve Jobs, pernah berkata bahawa beliau sama bangga dengan perkara yang beliau lakukan dengan perkara yang tidak beliau lakukan. 

Ini menunjukkan peri penting mengutamakan sesebuah idea yang lebih berpotensi membawa kepada kejayaan, daripada idea yang kurang bernas.

Ringkasnya, anda perlu belajar mengatakan ‘tidak’ kepada ratusan idea yang timbul, untuk mengutamakan perkara yang perlu dijadikan tumpuan.

Encik Buffett juga mengamalkan pendekatan yang sama, di mana di atas mejanya terdapat sebuah dulang yang berlabel dengan huruf besar “TERLALU SUKAR,” sebagai peringatan strategik bahawa tidak semua peluang pelaburan itu perlu diterima, terutama sekali jika syarikat di sebalik pelaburan tersebut sukar difahami dari segi model perniagaan, matlamat yang ingin dicapai, dan lain-lain aspek.

Justeru, lebih baik untuk tidak membazir tenaga dan wang dalam syarikat sebegitu.

Bila perlu katakan ‘ya’

Jadi, apa yang patut menjadi fokus pelabur?

Langkah pertama adalah melihat pasukan pengurusan di sebalik sesebuah syarikat.

Sebagai panduan, Encik Buffett pernah berkata bahawa terdapat tiga kualiti penting yang perlu dicari ketika mengambil pekerja: integriti, kecerdasan, dan tenaga. Menariknya, beliau menambah bahawa tanpa integriti, dua kualiti yang lain boleh memudaratkan.

Kualiti yang sama boleh diterapkan untuk menilai sama ada sesuatu perniagaan layak menerima pelaburan anda.

Selain itu, ada satu perkara penting yang sering diabaikan oleh pelabur, iaitu kejujuran pihak pengurusan.

Kejujuran ada harganya – ia bukan sekadar mendengar perkara baik tentang syarikat daripada pengurusannya, malah kesanggupan menerima berita buruk, kadangkala berita yang mengecewakan.

Sebagai contoh, lihat syarikat Meta Platforms.

Pada awal 2022, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta, Encik Mark Zuckerberg, membuat pengakuan bahawa syarikat TikTok merupakan salah satu pesaing paling hebat yang pernah dihadapi syarikatnya. 

Beliau turut menjelaskan secara terperinci cabaran lain yang dihadapinya – termasuk rangka kerja privasi baru Apple yang mengehadkan akses Meta kepada data pengguna.

Banyak pihak dalam media kewangan melihat pengakuannya sebagai membuka kelemahan syarikatnya sendiri.

Namun, sebagai pelabur, anda perlu bersedia untuk mendengar kededua berita baik dan buruk, untuk memahami situasi sebenar. 

Oleh itu, dalam kes Meta, mendedahkan masalah syarikat secara terperinci adalah satu kelebihan, bukannya beban, kerana keadaan akan lebih membimbangkan jika seorang CEO itu enggan mengakui ancaman dan cabaran yang wujud.

Secara ringkas, mengakui kewujudan ancaman dari syarikat lain tidak bermakna pihak pengurusan telah menyerah kalah.

Malah, dengan melakukan sedemikian, anda dapat mengeluarkan cadangan dan pelan tindakan untuk mengatasi cabaran yang dihadapi syarikat seperti yang dilakukan Encik Zuckerberg.

Utamakan tunai

Terdapat sebuah pepatah dalam dunia penyiaran berita: “Jika ia sensasi, ia mendahului.”

Dalam erti kata lain, tajuk berita negatif sering mendapat perhatian hampir kesemua pembaca, manakala berita positif kadangkala terabai begitu sahaja.

Situasi ini turut berlaku dalam dunia pelaburan.

Ketika Facebook melaporkan kehilangan sejuta pengguna aktif harian pada awal 2022, pihak media dan penganalisis menunjukkan reaksi yang hebat, malah ada yang mendakwa Facebook semakin ‘tenat’ dan bakal menemui penghujungnya sebagai sebuah rangkaian sosial.

Namun, sejak melaporkan kerugian tersebut, rangkaian sosial itu telah mendapat tambahan lebih 180 juta pengguna aktif harian menjelang 2023. Adakah pencapaian positif ini mendapat liputan meluas di media?

Tidak sama sekali.

Kes ini menunjukkan bahawa anda perlu aktif mencari perkembangan positif dalam syarikat dan memberi perhatian kepada aspek yang jarang diketengahkan, berbanding hanya memberi tumpuan pada masalah semasa.

Sebagai contoh, pada penghujung 2021, pendapatan perniagaan Meta berkembang maju.

Pada masa itu, syarikat media sosial tersebut memiliki hampir AS$48 bilion ($65.37 bilion) dalam simpanan selepas meraih aliran tunai bebas sebanyak AS$39 bilion sepanjang tahun.

Kekuatan kewangan yang dimilikinya membolehkan syarikat tersebut melabur dalam produk baru seperti Reels (video dengan format durasi pendek), Click-to-Message ads (produk iklan baru), dan Advantage+ (produk kempen pemasaran dikuasakan dengan kecerdasan buatan, AI). 

Lebih menarik lagi, ketiga-tiga produk tersebut kini menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan Meta, dengan setiap satu mencatat kadar hasil tahunan melebihi AS$10 bilion pada akhir 2023.

Hasilnya, Meta berjaya menjana aliran tunai bebas sebanyak AS$49 bilion dalam tempoh 12 bulan yang lalu dan meningkatkan simpanan tunainya kepada lebih AS$58 bilion pada penghujung Jun 2024.

Saham Meta juga mencatatkan peningkatan lebih 480 peratus sejak paras terendahnya pada 2022.

Gabungan fokus yang tepat

Contoh-contoh keputusan perniagaan di atas memberikan dua pengajaran penting. 

Pertama, pastikan anda sentiasa memberi perhatian sama ada pihak pengurusan mempunyai pelan yang jelas. 

Kedua, pastikan pasukan tersebut memiliki kekuatan kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan pelan tersebut.

Selebihnya adalah memastikan mereka melaksanakan apa yang telah dirancang.

Namun, memberi tumpuan kepada perkara ini sahaja tidak semestinya menjamin hasil pelaburan yang baik.

Setiap perniagaan mempunyai keunikan tersendiri dan bidang tumpuan mungkin berbeza antara syarikat, walaupun mereka berada dalam industri yang sama.

Mencari gabungan faktor positif yang tepat dalam sesebuah perniagaan adalah kunci kejayaan.

Yang paling penting, elakkan daripada melibatkan diri dengan perniagaan yang terlalu sukar difahami.

Jika Buffett boleh melakukannya, anda juga boleh!

Penulis rencana ‘The Business Times’ ini, Encik Chin Hui Leong, merupakan pengasas bersama The Smart Investor, sebuah laman web yang bertujuan membantu orang ramai melabur dengan bijak melalui pendidikan pelaburan, ulasan saham, dan liputan pasaran. Beliau turut memiliki saham dalam Apple, Berkshire Hathaway, Meta Platforms, dan Microsoft.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg