Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Galak Hawa maju dek memacu teknologi

Pengasas The Codette Project disenaraikan di antara 100 Wanita Utama dalam Teknologi Singapura
Oct 18, 2020 | 05:30 AM



Sedang dunia berubah menjadi ekonomi digital, lebih banyak inisiatif telah digerakkan untuk memperkasakan dan membantu golongan Hawa dalam bidang teknologi agar tidak ketinggalan di belakang. Antara kumpulan yang giat menggerakkan usaha ini ialah The Codette Project, yang sudah mendekati wanita dari semua lapisan umur dan latar belakang sejak lima tahun lalu ia dibentuk. Baru-baru ini, ia memperkenalkan program 'Codette Cares' yang memberi sokongan kepada peniaga dan pelajar di tengah-tengah krisis Covid-19. BERITA MINGGU (BM) meninjau.



APABILA Cik Nurul Jihadah Hussain memulakan The Codette Project lima tahun lalu, beliau tidak pernah mengharapkan sebarang pengiktirafan kerana matlamatnya jelas - demi membantu kaum Hawa memperkasakan diri dalam dunia teknologi.



Berkat usaha gigihnya, pertubuhan tidak meraih keuntungan itu sejauh ini telah mendekati lebih 3,000 wanita secara dalam talian dan lebih 1,000 wanita dalam kegiatan fizikal selama ia ditubuhkan.



Usaha Cik Nurul Jihadah, 33 tahun, itu mendapat penghormatan baru-baru ini apabila beliau disenaraikan di antara 100 Wanita Utama dalam Teknologi Singapura, senarai pertama kali yang dikeluarkan bagi mengiktiraf wanita yang menyumbang kepada sektor teknologi.



Ia dikeluarkan oleh Persatuan Komputer Singapura (SCS) dengan kerjasama Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Mediacorp.



"Apabila saya memulakan The Codette Project pada 2015, dunia teknologi tidak begitu memberatkan nilai kepelbagaian dan inklusiviti, khususnya bagi kaum Hawa.



"Kini saya begitu gembira kerana semua industri, khususnya industri teknologi, mengakui bahawa kepelbagaian itu adalah amat perlu," cerita Cik Nurul Jihadah.



Menurutnya, keupayaan pertubuhan itu menjalin kerjasama kukuh dan berdaya tahan sehingga ke hari ini telah membolehkan ia dipilih dalam senarai itu.



Selama ditubuhkan, pertubuhan itu berpeluang bekerjasama dengan beberapa pertubuhan antarabangsa penting dalam memberi sokongan dan kesedaran kepada golongan wanita setempat, seperi Facebook, Zendesk, Accenture, Deloitte dan Google.



Kata Cik Nurul Jihadah, hasil kesedaran lebih tinggi, pasukan di pertubuhan itu telah berjaya dikembangkan - daripada beliau seorang sahaja kepada kini 15 orang, yang kesemuanya merupakan sukarelawan.



Kegiatan yang dianjurkan juga dipelbagaikan. Selain daripada menganjurkan bengkel berkaitan kemahiran teknikal seperti pengekodan, ia juga mengadakan kelas bimbingan kerjaya dan 'hackathon' pertama untuk wanita sahaja.



Inisiatif terkininya ialah program pembiayaan dan bimbingan, 'Codette Cares', yang tercetus dua tahun lalu, tetapi kemudian hanya dilancarkan tahun ini bertepatan dengan krisis Covid-19, kata Cik Nurul Jihadah.



"Dana bagi program ini adalah hasil sumbangan arwah ibu rakan pasukan kami, Encik Hakim Ariffin, yang banyak menyokong kami sejak beliau menyertai kami pada 2017.



"Kami ingin memanfaatkan amanah diberikan ini sebaik mungkin dan kami fikir keperluan dalam masyarakat semasa Covid-19, wajar diberi perhatian.



"Justeru, kami lancarkan 'Codette Cares' yang bertujuan membiayai pelajar dan usahawan wanita serta meredakan bebanan mereka dalam tempoh sukar ini," ujarnya.



Selain daripada pembiayaan tunai kepada empat penerima, program itu juga menawarkan bimbingan tersusun, yang dilakarkan salah seorang rakan pasukan, Cik Liyana Muhammad Fauzi. Krisis yang berlaku hari ini, tambah Cik Nurul Jihadah, hanya memperkukuhkan wawasan dan misi pertubuhannya, dalam membantu kaum wanita memperkasakan diri dalam dunia digital.



"Adalah jelas bahawa krisis ini baru sahaja bermula, khususnya dari segi kesan jangka panjang ekonomi.



"Kemungkinan besar krisis ini akan menjejas wanita Muslim mahupun minoriti secara tidak seimbang, sebagaimana yang berlaku dalam kebanyakan krisis yang kita lihat.



"Maka itu, kami akan terus membina dan mengembangkan masyarakat yang menyokong wanita Muslim dan minoriti dan menggalak mereka mencapai kejayaan menerusi teknologi," jelasnya yang berharap dapat menggiatkan usaha mewakili wanita dalam teknologi, membaiki akses dan membantu peniaga wanita menghuraikan masalah dalam teknologi.




"Apabila saya memulakan The Codette Project pada 2015, dunia teknologi tidak begitu memberatkan nilai kepelbagaian dan inklusiviti, khususnya bagi kaum Hawa.

Kini saya begitu gembira kerana semua industri, khususnya industri teknologi, mengakui bahawa kepelbagaian itu adalah amat perlu."

- Cik Nurul Jihadah




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >