Dana kekayaan milik negara, GIC, telah melepaskan hartanah hotelnya di Fukuoka, Jepun, dengan ia mengesahkannya pada 11 September.
Hartanah itu, hotel Hilton Fukuoka Sea Hawk, telah dijual kepada Mizuho Leasing Company, yang menandatangani perjanjian pembelian pada Julai.
Perjanjian itu diselesaikan pada akhir Ogos.
GIC enggan mengulas mengenai harga belian dan harga jualan.
Agensi berita Bloomberg pada Januari melaporkan hotel itu mempunyai harga yang diminta antara 85 bilion hingga 90 bilion yen ($778 juta hingga $824 juta), seperti yang ditunjukkan oleh sumber yang rapat dengan perkara itu, lapor The Business Times.
Pada Mei, agensi berita Mingtiandi memetik sumber-sumber sebagai berkata, Japan Hotel Real Estate Investment Trust dipilih sebagai pembida pilihan untuk membeli hotel itu pada harga 70 bilion yen.
Hartanah itu, yang digambarkan sebagai “salah sebuah hotel yang mewakili Bandar Fukuoka”, mempunyai 1,052 bilik tamu, dedah Mizuho Leasing pada Julai.
Hotel ini berada sejauh 20 minit jika memandu dari lapangan terbang bandar itu, dan 16 minit memandu dari kawasan Tenjin, sebuah kawasan beli-belah, makanan dan hiburan.
Ia juga terletak bersebelahan Mizuho PayPay Dome, stadium utama bagi pasukan besbol profesional, Fukuoka SoftBank Hawks, jadi ia dijangka menarik permintaan pelancongan dan perniagaan daripada pengguna kubah di stadium tersebut.
Hotel itu juga mempunyai salah satu dewan bankuet terbesar di Kyushu dan sebuah gereja kecil, yang boleh memenuhi pelbagai keperluan, daripada mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran sehinggalah ke majlis perkahwinan.
Hotel itu juga adalah sebahagian daripada kompleks hartanah yang dikenali sebagai Hawks Town yang diperolehi GIC pada April 2007.
Hawks Town terdiri daripada kubah tersebut, pusat beli-belah dan hotel.
Beberapa sumber telah menganggarkan harga pembeliannya sekitar 100 bilion yen.
Pada 2012, GIC menjual kubah itu kepada Softbank dengan harga 87 bilion yen.
Pada 2015, ia menjual pusat beli-belah itu kepada Mitsubishi Estate pada harga yang tidak didedahkan.
GIC telah berusaha untuk meningkatkan aset hotel sejak ia diperoleh pada 2007, seperti dengan mengubah suai bilik, dan menaik taraf kawasan umum seperti restoran, ruang bankuet dan zon runcit, kata seorang jurucakap.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg