Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Google DeepMind tubuh makmal AI di S’pura, tingkat kefahaman model bahasa tempatan

Nov 19, 2025 | 6:50 PM
Google DeepMind, AI
Singapura dipilih sebagai lokasi utama makmal penyelidikan AI baru, Google DeepMind, kerana pendekatannya yang berwawasan dan menyokong inovasi. - Foto ZAOBAO

Syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat, Google DeepMind, telah menubuhkan makmal penyelidikan kecerdasan buatan (AI) baru di Singapura, yang akan mempertingkat usaha sedia ada bagi meningkatkan keupayaan model AI dalam memahami bahasa serantau dan nuansa budaya.

Melalui kerjasama dengan agensi tempatan dan institusi akademik, pasukan penyelidikan AI utama Google DeepMind itu juga akan tertumpu pada peningkatan keupayaan pemikiran model AI milik Google, Gemini.

Ia juga akan mencipta penyelesaian bagi menangani isu sejagat seperti tenaga, penjagaan kesihatan dan perubahan iklim.

Singapura dipilih sebagai lokasi utama makmal penyelidikan AI baru itu kerana pendekatannya yang berwawasan dan menyokong inovasi, kata Ketua Pegawai Operasi (COO) Google DeepMind, Cik Lila Ibrahim, semasa acara media di pejabat Google di Pasir Panjang pada 19 November.

Makmal penyelidikan baru itu akan terletak di dalam pejabat tersebut, lapor The Straits Times (ST).

“Kita perlukan kerjasama yang membantu kita menyeimbangkan matlamat jangka panjang dan jangka pendek.

“Ini bukan sahaja mengenai tumpuan kepada aplikasi AI yang canggih, malah tentang bagaimana kita boleh menjadikannya mudah diakses secara umum, serta memastikan tiada sesiapa ketinggalan dalam teknologi yang membawa perubahan ini,” kata Cik Lila.

DeepMind ditubuhkan di London pada 2010 sebagai syarikat permulaan, dan diambil alih oleh Google pada 2014 dengan misi membangunkan AI secara bertanggungjawab demi manfaat semua.

Antara pencapaian pasukan penyelidikan itu termasuk pelancaran AlphaFold pada 2020, sebuah sistem AI yang dapat meramal model tiga dimensi (3D) struktur protein dengan tepat.

Teknologi ini telah digunakan Institut Sains Neuro Nasional (NNI) dan Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) yang menyumbang kepada penemuan penting dalam memahami penyakit Parkinson, menurut kenyataan pasukan itu pada 19 November.

Pada April lalu, Google DeepMind memulakan kerjasama dengan AI Singapore dalam Project Aquarium, sebuah platform yang mengumpul data mengenai bahasa Asia Tenggara.

Usaha ini seterusnya menyokong pembangunan model AI tempatan Singapura, Sea-Lion, yang dapat memahami 13 bahasa serantau termasuk Melayu, Tamil, Thai dan Vietnam.

Pensyarah kanan pasukan perkongsian pengetahuan dan maklumat Google untuk rantau Asia-Pasifik, Cik Yolyn Ang, berkata penyesuaian model bahasa berskala besar kepada konteks tempatan akan membantu mengurangkan halangan manusia berinteraksi dengan AI. 

Cik Lila menambah kerja meningkatkan kefahaman model AI terhadap bahasa, tidak terhad kepada teks dan pertuturan sahaja, malah turut merangkumi isyarat visual yang relevan dengan budaya.

Menurut kenyataan pertubuhan itu, Google DeepMind telah meningkatkan pelaburannya di rantau Asia-Pasifik lebih daripada dua kali ganda sepanjang tahun lalu (2024), dengan pembukaan makmal baru di Singapura menyusuli pembukaan makmal di Jepun dan India.

Ia menyertai barisan syarikat yang menubuhkan pejabat di Singapura untuk mengembangkan usaha penyelidikan dan pembangunan AI mereka, selepas pesaing industri seperti Microsoft dan Alibaba Cloud melakukan perkara sama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg