Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Harga EV kian setara dengan kereta biasa bila model lebih murah masuki S’pura

Jul 05, 2023 | 06:28 PM



Kemasukan kenderaan elektrik (EV) yang lebih kecil dan kurang mahal ke pasaran Singapura mengecilkan jurang harganya dengan kereta konvensional, walaupun pemain industri berkata ia akan mengambil masa beberapa tahun lagi sebelum kesetaraan harga sebenar dicapai.

Meskipun EV pada umumnya lebih mahal daripada kereta penumpang petrol atau hibrid, peserta baharu ini telah meningkatkan harga EV di bawah paras $160,000, harga semasa kereta jenis sedan biasa lapor The Business Times.


Pada Isnin, syarikat pengeluar BYD melancarkan model hatchback kompak Dolphin EV – model terkecil dan paling murah setakat ini. Harga pelancarannya $156,888 dengan sijil layak memiliki kenderaan (COE) juga menjadikannya EV termurah yang dijual pengedar sah di Singapura.

Peugeot e-2008, yang dilancarkan pada Ogos 2022, adalah pesaing terdekat Dolphin dari segi harga dan saiz, walaupun ia diklasifikasikan sebagai kenderaan utiliti sukan kompak. Ia dijual pada harga $159,888 dengan COE.

Jenama EV China, Ora, dijangka melancarkan hatchback kompak elektriknya sendiri, Good Cat, di Singapura akhir tahun ini. Saingan langsung kepada Dolphin, ia dijangka berharga pada terma yang sama.

Sesetengah EV yang lebih murah ini berharga sama atau lebih rendah daripada model enjin pembakaran dalaman yang setanding.

Bagaimanapun, harga mampu milik ini disebabkan oleh dua skim insentif utama yang secara kolektif mengurangkan sehingga $45,000 daripada harga EV.

EV yang didaftarkan dari 2021 hingga akhir 2023 layak mendapat Insentif Pengangkatan Awal EV (EEAI), yang memberikan potongan 45 peratus daripada Yuran Pendaftaran Tambahan (ARF), sehingga maksimum $20,000.

EV juga merupakan satu-satunya jenis kenderaan penumpang yang layak mendapat rebat tertinggi sebanyak $25,000 di bawah Skim Pelepasan Kenderaan (VES), yang memberikan rebat atau penalti kepada kenderaan bergantung pada tahap pencemarannya. Tanpa insentif sedemikian, Dolphin akan menelan kos lebih $35,000, melebihi $190,000, kata BYD.

“Kos EV, tanpa insentif, masih sangat tinggi, dan tidak mampan dalam jangka panjang,” kata Encik Nicholas Wong, pengurus besar pengedar rasmi Honda Kah Motor.

Hibrid tidak layak untuk EEAI, tetapi ada yang layak mendapat rebat VES peringkat rendah sehingga $15,000, yang setakat ini sudah cukup untuk mengekalkan harga yang kompetitif, kata Encik Wong.

Memandangkan hibrid menggunakan petrol, menawarkan penjimatan kos dan kurang mencemarkan berbanding kereta biasa, mereka kekal sebagai pilihan lebih baik daripada EV – sehingga kos pengeluaran EV benar-benar sepadan dengan kereta tradisional, tambahnya.

Encik Wong berkata, beliau menjangkakan kesetaraan harga boleh mengambil masa tiga hingga 10 tahun dan ia akan berbeza dalam kalangan pembuat kereta.

Encik Jim Farley, ketua pegawai eksekutif pembuat kereta Amerika Syarikat Ford, berkata pada persidangan pelabur pada awal Jun bahawa kesetaraan harga mungkin tidak dicapai sehingga selepas 2030, apabila proses pengeluaran EV dijangka menjadi lebih mudah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >