Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga flat jualan semula HDB naik 2.1% pada suku kedua

Jul 1, 2024 | 4:03 PM
Menurut HDB, kenaikan harga dan jumlah flat yang dijual didorong permintaan kukuh bagi flat jualan semula.
Menurut HDB, kenaikan harga dan jumlah flat yang dijual didorong permintaan kukuh bagi flat jualan semula. - Foto ST

Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meningkat 2.1 peratus pada suku kedua 2024, pada kadar lebih pantas berbanding pertumbuhan 1.8 peratus pada suku sebelumnya.

Ini merupakan kenaikan harga selama 17 suku berturut-turut, menurut anggaran awal yang dikeluarkan HDB pada 1 Julai.

Trend kenaikan harga itu bermula pada suku kedua 2020, lapor The Straits Times (ST).

Sebanyak 7,208 flat jualan semula HDB bertukar tangan pada suku kedua 2024, meningkat 14.5 peratus daripada tempoh sama pada 2023, apabila 6,297 flat dijual.

Menurut HDB, kenaikan harga dan jumlah flat yang dijual didorong permintaan kukuh bagi flat jualan semula.

Ia juga disebabkan “bekalan ketat” dalam pasaran, dengan berkurangnya jumlah flat yang mencapai tempoh penginapan minimum (MOP) pada 2024 berbanding 2023.

Dengan menyebut kadar gadai janji lebih tinggi kini, HDB menasihatkan keluarga di sini agar membuat perancangan kewangan yang berhemah apabila membeli flat, agar mereka mampu membayar gadai janji rumah dalam jangka panjang.

Walaupun keadaan ekonomi adalah kukuh secara keseluruhan, prospek ekonomi sedunia masih tidak menentu akibat keadaan geopolitik yang tidak stabil secara berterusan, katanya.

“Pemerintah akan terus memantau pasaran hartanah dengan teliti dan menyesuaikan dasarnya mengikut keperluan untuk menggalak pasaran hartanah yang mantap dan mampan,” tambah HDB.

Ketua penyelidik dan pakar strategi di firma hartanah, OrangeTee Group, Cik Christine Sun, menjelaskan bahawa pelancaran projek Bina Ikut Tempahan (BTO) dan Jualan Baki Flat (SBF) yang kurang kerap kini, mungkin menyebabkan lebih ramai pencari rumah memilih flat jualan semula HDB.

Mulai 2024, latihan jualan BTO akan diadakan tiga kali setahun – pada Februari, Jun dan Oktober, kurang kerap berbanding empat kali setahun sebelum ini.

SBF, yang memberi pemohon peluang memohon baki flat daripada jualan BTO sebelumnya, akan diadakan sekali dalam setahun, turun daripada dua kali setahun sebelum ini.

Satu-satunya pelancaran BTO pada 2024 diadakan pada Februari.

Ketua Pegawai Penyelidik di portal carian hartanah Mogul SG, Encik Nicholas Mak berkata, walaupun harga meningkat bagi semua jenis flat, harga flat jualan semula lebih kecil naik pada kadar lebih pantas, mungkin disebabkan permintaan lebih kukuh daripada golongan bujang dan pesara.

Harga jualan semula median atau nilai tengah, bagi flat tiga bilik ialah $410,000 pada suku kedua 2024, naik 2.5 peratus daripada harga median $400,000 pada suku pertama, katanya.

HDB merancang melancarkan sekitar 19,600 flat BTO sepanjang 2024.

Pada Jun, ia menawarkan lebih 6,900 flat merangkumi lapan projek BTO di Jurong East, Kallang/Whampoa, Queenstown, Tampines, Woodlands dan Yishun.

Pada Oktober, ia dijangka melancarkan sekitar 8,500 flat merangkumi 15 projek BTO di Ang Mo Kio, Bedok, Bukit Batok, Geylang, Jurong West, Kallang/Whampoa, Pasir Ris, Sengkang dan Woodlands.

Dalam pada itu, harga rumah privet di Singapura naik pada kadar lebih rendah, iaitu 1.1 peratus pada suku kedua 2024, menurut anggaran awal Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg