Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hartawan cat muncul individu paling kaya di S’pura

Apr 3, 2025 | 3:55 PM
Hartawan cat, Encik Goh Cheng Liang (kiri), pengasas syarikat peranti perubatan, Encik Li Xiting (kanan, di atas) dan jutawan teknologi, Encik Forrest Li, masing-masing menduduki tiga tangga teratas dalam senarai individu paling kaya Singapore Forbes.
Hartawan cat, Encik Goh Cheng Liang (kiri), pengasas syarikat peranti perubatan, Encik Li Xiting (kanan, di atas) dan jutawan teknologi, Encik Forrest Li, masing-masing menduduki tiga tangga teratas dalam senarai individu paling kaya Singapore Forbes. - Foto ZAOBAO, MINDRAY, SEA LIMITED

Hartawan cat, Encik Goh Cheng Liang, menduduki tempat teratas dalam senarai individu terkaya di Singapura, menurut senarai tahunan jutawan global Forbes yang dikeluarkan pada 1 April.

Tempat kedua diduduki pengasas syarikat peranti perubatan, Encik Li Xiting, disusuli jutawan teknologi, Encik Forrest Li, di tempat ketiga.

Mereka bertiga termasuk dalam kalangan 49 jutawan Singapura yang mendapat tempat dalam senarai tersebut, satu peningkatan daripada 39 jutawan pada 2024. 

Secara global, Encik Goh, Encik Li Xiting, dan Encik Forrest Li, masing-masing berada di kedudukan ke-182, ke-185, dan ke-347.

Jumlah kekayaan keseluruhan jutawan Singapura mencecah AS$145.2 bilion ($195 bilion) pada 2025, berbanding AS$115.5 bilion pada 2024.

Encik Goh, pemegang saham terbesar dalam Nippon Paint Holdings Jepun, mengatasi Encik Li Xiting – pengasas bersama dan pengerusi Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics – untuk menduduki tempat teratas dengan kekayaan bersih AS$13 bilion.

Encik Li Xiting, yang berada di kedudukan teratas senarai tempatan pada 2024, kini mempunyai kekayaan bersih AS$12.8 bilion, lapor The Straits Times (ST).

Encik Forrest Li, ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat Internet berpangkalan di Singapura, Sea, berjaya gandakan kekayaan bersihnya daripada AS$3.6 bilion pada 2024 kepada AS$8.6 bilion pada 2025.

Sea mencatat keuntungan bagi tahun kedua berturut-turut pada 2024, didorong pertumbuhan dalam unit e-dagangnya, Shopee, serta unit kewangan digitalnya, SeaMoney.

Saham syarikat yang disenaraikan di Amerika Syarikat itu melonjak lebih 140 peratus dalam setahun, mencecah AS$132.46 pada 2 April.

Kesemua jutawan tempatan yang tersenarai pada 2024, kekal dalam senarai individu paling kaya Forbes 2025.

Antara jutawan baru yang tersenarai termasuk pengarah urusan Hong Leong Holdings, Encik Quek Leng Chye, yang berada di kedudukan ke-2,790 di peringkat global dengan kekayaan bersih AS$1.1 bilion; pengarah bukan eksekutif syarikat permainan Razer, Encik Lim Kaling, dengan kekayaan AS$1.2 bilion.

Ketiga-tiga anak mendiang tokoh perbankan, Encik Wee Cho Yaw – Encik Wee Ee Cheong, Encik Wee Ee Chao dan Encik Wee Ee Lim, turut tersenarai.

Kekayaan gabungan adik-beradik itu mencecah AS$6 bilion pada 2025, berbanding AS$4.2 bilion yang dicatatkan pada 2024.

Pengasas bersama Meta, Encik Eduardo Saverin, yang merupakan warga Brazil dan penduduk tetap (PR) Singapura, berada di tangga ke-51 dunia dengan kekayaan bersih sebanyak AS$34.5 bilion.

Senarai Jutawan Dunia Forbes ialah gambaran kekayaan berdasarkan harga saham dan kadar pertukaran pada 7 Mac. Ia mengambil kira pelbagai aset, termasuk syarikat persendirian, hartanah dan seni.

Senarai 2025 mencatatkan rekod 3,028 jutawan – meningkat 247 orang berbanding 2024. Jumlah kekayaan mereka mencecah AS$16.1 trilion, meningkat hampir AS$2 trilion daripada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg