Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan ia mungkin akan menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi pada bulan ini disebabkan penurunan penggunaan yang ketara; lebih banyak kehilangan pekerjaan dan risiko gelombang kemuflisan baru.
IMF pada April lalu meramalkan penguncupan 3 peratus bagi ekonomi dunia tahun ini. Ia juga memberi amaran kemungkinan adanya krisis yang lebih mendalam yang akan mengakibatkan penurunan 6 peratus pada 2020 dan pertumbuhan sifar peratus pada 2021.
"Kami mengeluarkan angka baru pada 24 Jun ini dan kemungkinan besar ia akan lebih buruk daripada yang kami ramalkan pada April lalu," kata ketua ekonomi IMF, Cik Gita Gopinath dalam ucapan maya ke Forum Dasar Kewangan Asia Ke-7, yang berlangsung hari ini.
Cik Gopinath menyatakan bahawa masih ada ketidakpastian yang mendalam mengenai berapa lama wabak Covid-19 akan berlanjutan dan apakah kesan sebenarnya terhadap corak penggunaan, keadaan pasaran buruh dan kemampuan syarikat-syarikat yang dilanda gangguan ekonomi untuk kekal kestabilan kewangan.
"Keadaan berubah-ubah ini menunjukkan kesan parut yang ketara," katanya. "Dengan demikian ada pertanyaan besar tentang bagaimana pemulihannya."
IMF pada April telah meramalkan penguncupan 3.5 peratus bagi hasil dalam negara kasar untuk tahun ini bagi Singapura.
Sejak itu, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan menurunkan jangkauan ramalan pertumbuhan 2020 untuk Singapura menjadi antara -4 hingga -7 persen.
Cik Gopinath mengatakan bahawa bagi sebahagian besar negara-negara Asia, harga minyak yang lebih rendah, kejayaan menahan penularan virus dan kerentanan rendah terhadap kejutan luaran dari segi keperluan pembiayaan dan tekanan hutang akan menjadi positif. - The Straits Times
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg