Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Insurans berkaitan pelaburan boleh jana $, jika buat kajian, pilihan baik

Oct 01, 2023 | 05:31 AM



Boleh raih pendapatan sambil melindungi diri.

Inilah tanggapan biasa yang ada terhadap produk insurans berkaitan pelaburan (ILP).

Menjadikan ILP sebagai sebahagian daripada portfolio pelaburan anda sebenarnya membolehkan anda menjimatkan masa dan membantu mengawal emosi anda dengan bimbingan profesional yang berkelayakan, menurut beberapa ahli panel semasa menyentuh hal ini di Festival Pelaburan Rizq (RIF) anjuran Islamic Finance Singapore (IFSG) baru-baru ini.

Pada masa yang sama, terdapat beberapa faktor yang pelabur perlu ambil perhatian seperti yuran yang tinggi, kepelbagaian yang berlebihan dan salah pilihan ILP, kata Penasihat Kekayaan Islam Bertauliah Pengurusan Harta Islam Financial Alliance (FaiWA), Syed Afiq Syed Ismail dan Encik Imran Sinwan, Rakan Kongsi Bersekutu IAM Advisory.

APAKAH ILP?

Menurut laman web Moneysense, ILP ialah polisi yang mempunyai perlindungan insurans hayat dan komponen pelaburan. Bayaran anda digunakan untuk membayar unit dalam satu atau lebih dana pilihan anda.

Beberapa unit yang dibeli kemudiannya dijual untuk membayar insurans dan bayaran lain, manakala bakinya akan dilaburkan semula.

ILP menyediakan perlindungan insurans sekiranya berlaku kematian atau jika disertakan, kehilangan keupayaan.

Bergantung pada polisi, manfaat kematian mungkin terdiri daripada jumlah yang diinsuranskan atau nilai unit dalam dana yang lebih tinggi pada masa itu atau gabungan kedua-duanya.

“Nilai unit ini bergantung pada harganya, yang seterusnya bergantung pada prestasi dana. Inilah sebab mengapa ILP biasanya tidak mempunyai sebarang nilai tunai yang dijamin,” jelas MoneySense.

Umumnya, terdapat dua jenis ILP.

Pertama ialah ILP premium tunggal. Anda bayar premium sekali gus untuk membeli unit dalam dana. Kebanyakan ILP premium tunggal menyediakan perlindungan insurans lebih rendah daripada ILP premium biasa.

Kedua, ialah ILP premium biasa. Anda bayar premium secara berterusan. ILP premium biasanya membenarkan anda mengubah tahap perlindungan insurans yang anda perlukan.

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN ILP

Salah satu kelebihan ILP adalah potensinya untuk menjana pendapatan lebih tinggi.

Ini kerana bayaran untuk ILP digunakan untuk membeli unit-unit yang boleh dijual pada masa hadapan yang akan menetapkan pendapatan mereka.

Terdapat juga kemungkinan bonus diberikan bergantung kepada nilai akaun dan tempoh bayaran ILP, jelas Encik Imran.

“Syarikat akan menarik pelanggan melalui pemberian saham percuma. Namun pendapatan tersebut tidak terjamin,” tambahnya.

Selain itu, melabur dalam ILP menjimatkan masa agar pelabur dapat memanfaatkan masa tersebut dengan perkara pelaburan yang lain.

“ILP menawarkan banyak kemudahan dan ia memberi masa kepada pelabur memberi tumpuan kepada apa yang ingin dilabur dan bukan di mana beliau harus melabur,” kata Encik Imran.

Secara umum, bayaran untuk melabur dalam ILP sangat tinggi dan ini akan menjejas pendapatan yang dijana, menurut laman web, SingSaver.

Tetapi kini terdapat banyak wadah pelaburan dengan bayaran sangat rendah, kata Syed Afiq.

“Bayaran ILP biasanya dalam anggaran 4 peratus hingga 5 peratus. Sekarang terdapat banyak platform pelaburan seperti Tiger Broker, dan Fsone, anda boleh melabur dengan 0 peratus caj,” kata Syed Afiq.

FAKTOR DITIMBANGKAN SEBELUM LABUR ILP

Laman MoneySense menekankan bahawa pelabur harus mengetahui tempoh melabur mengikut keselesaan mereka.

Selain itu, perlindungan insurans antara ILP juga berbeza.

Sesetengah ILP menitikberatkan pelaburan dengan perlindungan insurans yang sedikit manakala ada yang membolehkan anda menetapkan tahap perlindungan yang anda perlukan.


Pelabur harus ambil perhatian bahawa lebih banyak perlindungan anda, lebih banyak unit diperlukan untuk membayar perlindungan dan meninggalkan hanya sedikit unit untuk dilaburkan.

Pelabur juga harus fikirkan jika mereka boleh teruskan bayaran ILP mereka jika mereka sudah tidak menjana pendapatan lagi, tambah MoneySense.


NASIHAT

Dalam meneroka produk ILP, kededua ahli panel setuju bahawa mendapatkan khidmat karyawan yang berkelayakan sangat penting untuk mengurus polisi.

Encik Imran mengingatkan orang ramai agar menjauhi mereka yang hanya ingin menjual produk mereka tanpa melakukan kajian yang betul kerana ingin mengejar komisen.

“Sebelum anda berunding dengan seorang profesional dalam bidang kewangan mengenai ILP, anda harus tahu keinginan anda, arah dan tujuan anda,” tambah Syed Afiq bersetuju dengan kenyataan Encik Imran.

“Jika kita tidak tahu apa yang kita inginkan, kita cenderung membeli produk yang salah dan mungkin kerugian,” kata Syed Afiq lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >