HONG KONG: Tawaran Awam Awal (IPO) kumpulan pinjaman dalam talian, Ant Group bernilai AS$37 bilion ($50.3 bilion) telah digantung dalam kedua-dua Bursa Saham Shanghai dan Hongkong dua hari sebelum saham itu disenaraikan.

IPO itu, yang akan menjadi IPO terbesar di dunia, digantung oleh Bursa Saham Shanghai selepas pengawal mengadakan pertemuan dengan pengasas kumpulan, Jack Ma dan eksekutif kanannya.

Bursa itu menyatakan syarikat itu tidak memenuhi kriteria penyenaraian atau pendedahan, serta pengawalan teknologi kewangan.

Bursa Saham Shanghai menyatakan pertemuan dengan Jack Ma, yang merupakan pengasas e-dagang AliBaba, sebagai satu pertemuan penting.

Ant sepatutnya menyenaraikan sahamnya buat pertama kali di Hong Kong dan Shanghai hari ini selepas mengumpulkan dana IPO sebanyak AS$37 bilion, dalam apa yang disifatkan sebagai IPO terbesar di dunia. Jumlah yang dikumpulkan dikatakan boleh membeli 20 kumpulan perbankan Morgan Stanley.

Selain Encik Ma, pengerusi eksekutif Encik Eric Jing dan ketua eksekutif Ant Encik Simon Hu juga menemui wakil Bursa Saham Shanghai Isnin lalu.

Mereka diberitahu bahawa perniagaan pinjaman dalam talian akan menghadapi pengawalan pemerintah lebih ketat, ujar sumber Reuters.

Mesyuarat itu berlaku setelah pihak berkuasa China menerbitkan undang-undang draf yang baru bagi pinjaman mikro dalam talian.

Lewat bulan lalu, Encik Ma menyatakan bahawa undang-undang kewangan di China terkebelakang dan tidak sesuai bagi syarikat yang cuba menggunakan teknologi bagi mendorong kewangan.

Beijing tidak selesa dengan langkah bank menggunakan peminjam mikro atau teknologi parti ketiga seperti Ant dalam menguruskan pinjaman pengguna.

Mereka bimbang jika pengguna gagal melunaskan pinjaman, mutu aset pinjaman akan terjejas dan menjejas ekonomi negara.

Harga saham dalam syarikat Alibaba susut 8.6 peratus selepas berita penggantungan IPO Ant.

Ant meminta maaf kepada para pelabur kerana penggantungan itu. - Reuters, AFP

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti