Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jambatan Baltimore runtuh: Kesatuan sekerja gesa layanan adil kru kapal S’pura

May 17, 2024 | 5:33 PM
Pemandangan jambatan Francis Scott Key di Baltimore yang runtuh, selepas ia dirempuh kapal kargo MV Dali, pada 26 Mac.
Pemandangan jambatan Francis Scott Key di Baltimore yang runtuh, selepas ia dirempuh kapal kargo MV Dali, pada 26 Mac. - Foto AFP

Dua kesatuan sekerja pelaut Singapura sedang giat berusaha memastikan kesemua anak kapal yang terperangkap di kapal kontena berdaftar di Singapura, yang merempuh Jambatan Francis Scott Key, di Baltimore, Amerika Syarikat, dan menyebabkan ia runtuh, terus berada dalam keadaan selamat dan dilayan secara adil.

Kapal kargo penuh dengan muatan itu melanggar jambatan tersebut selepas ia kehilangan kuasa.

Kesemua kakitangan dan kru kapal MV Dali tidak meninggalkan kapal kontena tersebut sejak insiden pada 23 Mac itu.

Malah, mereka masih berada di atas kapal itu pada 13 Mei, ketika berpuluh-puluh bahan letupan kecil yang diletak di sekitar bahagian jambatan yang jatuh pada bahagian depan kapal itu, diletupkan.

Penolong setiausaha agung Kesatuan Pegawai Kelautan Singapura (SMOU), Encik Gwee Guo Duan, memaklumkan bahawa kesemua kru kapal tersebut berada dalam keadaan selamat dan sihat, lapor The Straits Times (ST).  

Beliau berkata SMOU sedang bekerjasama dengan rakan sejawatannya di Amerika agar kesemua 21 kakitangan kapal itu dibenarkan meninggalkan kapal dan berehat selama beberapa jam.

“Tekanan mental akibat terperangkap di atas kapal hari demi hari yang panjang, agak tinggi, jadi kami sedang berusaha mendapatkan waktu rehat (di darat) bagi kru agar mereka dapat meninggalkan kapal (dan berehat) selama beberapa jam,” tambah Encik Gwee.

Kru kapal tersebut, merangkumi 20 warga India dan seorang warga Sri Lanka, tidak dibenarkan turun dari kapal disebabkan sekatan visa, ketiadaan pas yang diperlukan dan siasatan berterusan oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dan Biro Siasatan Federal (FBI) Amerika.

Encik Gwee berkata SMOU dan Pertubuhan Pelaut Singapura (SOS) akan bekerjasama dengan Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa, dan pihak berkuasa Amerika agar kru kapal yang tidak lagi diperlukan dalam siasatan itu, dibenarkan pulang.

Ini termasuk tukang masak dan kakitangan lain yang tidak memegang kuasa atau bekerja dalam bilik enjin kapal tersebut.

Menyusuli lawatan ke MV Dali pada 24 April, SMOU dan SOS melahirkan “kebimbangan yang mendalam” mengenai kemungkinan kru kapal tersebut menghadapi tuduhan kesalahan jenayah, apabila kapal itu kehilangan kuasa dan merempuh jambatan itu, menyebabkan enam pekerja pembinaan yang tidak sempat menyelamatkan diri, terbunuh.  

Kededua pertubuhan itu berkata dalam satu kenyataan bersama pada 11 Mei bahawa walaupun “sesetengah kru kapal masih bertahan, semangat (mereka) telah menurun”.

Antara lain, para pelaut tersebut mengalami ketakutan tidak berasas mengenai liabiliti jenayah peribadi yang mungkin mereka hadapi, tekanan emosi oleh mereka yang menyaksikan insiden rempuhan itu, dan komunikasi dengan anggota keluarga yang terputus selepas kad SIM dan telefon bimbit mereka dirampas oleh FBI.

Dalam kenyataan itu, Setiausaha Agung SMOU, Cik Mary Liew, berkata “(kemungkinan) pelaut dikenakan tuduhan jenayah hanya kerana mereka berada di atas kapal semasa berlakunya sesuatu insiden, semakin membimbangkan”.

Beliau menggesa semua pihak yang terlibat agar “mengutamakan pendekatan adil dan seimbang yang melindungi hak pelaut dan memastikan mereka dihantar pulang secepatnya, jika mereka tidak diperlukan bagi siasatan lanjut”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg