MULAI esok, syarikat penerbangan, Jetstar Asia, menawarkan lima khidmat penerbangan seminggu ke Manila (Filipina), Bangkok (Thailand) and Kuala Lumpur (Malaysia), bagi membantu memudahkan perjalanan warga dan penduduk serta kargo ke tempat-tempat berkenaan.
Dalam kenyataannya, Jetstar Asia berkata, setiap pesawat menawarkan hanya 112 tempat duduk, atau kira-kira 60 peratus muatan bagi membolehkan pelaksanaan jarak selamat sedang langkah-langkah pemutus litar dikuatkuasakan.
Semua penumpang yang awalnya telah membuat tempahan ke atas penerbangan-penerbangan ini telah dihubungi menerusi khidmat pesanan ringkas.
Tempahan boleh dibuat secara dalam talian di Jetstar.com
"Perkhidmatan ini disediakan hanya untuk warga dan penduduk tetap yang mahu pulang ke rumah, atau mereka yang telah diberi kebenaran," kata Jetstar dalam kenyataannya.
Di dalam pesawat, keselamatan diutamakan dan risiko dijangkiti Covid-19 dalam pesawat dianggap rendah, dan jumlah penumpang dikurangkan untuk membolehkan pelaksanaan jarak selamat dan khidmat layanan akan dikurangkan dengan penumpang diberikan air sahaja semasa penerbangan.
Sejajar dengan langkah pemutus litar yang dikuatkuasakan pemerintah, semua penumpang dikehendaki memakai pelitup, sepanjang masa. Anak-anak kapal akan menggunakan pelitup dan pakaian pelindung diri mengikut panduan yang diberikan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg