Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor usul Iskandar dijadikan zon ekonomi khas dengan S’pura

Exco negeri berkata Iskandar punya prasarana, kemudahan yang diperlukan dan sesuai bagi SEZ
Jan 5, 2024 | 6:01 PM
BAKAL JADI SEBAHAGIAN ZON EKONOMI KHAS?: Gambar menunjukkan tapak pembinaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar.  Johor Bahru, iaitu ibu negeri Johor, sebahagian daripada kawasan pembangunan Iskandar.
BAKAL JADI SEBAHAGIAN ZON EKONOMI KHAS?: Gambar menunjukkan tapak pembinaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar. Johor Bahru, iaitu ibu negeri Johor, sebahagian daripada kawasan pembangunan Iskandar. - Foto ST

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Johor mengusulkan agar hab perniagaan Iskandar Malaysia dijadikan sebagai zon ekonomi khas (SEZ) yang sedang dirancang antara Singapura dan Malaysia, menurut The Straits Times.

Bagaimanpun, belum diketahui sama ada kerajaan persekutuan Malaysia bersetuju dan akan membincangkan usul itu dengan Singapura.

Satu Memorandum Persefahaman (MOU) bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dimeterai oleh dua negara itu pada 11 Januari.

“Kawasan pembangunan Iskandar tersedia untuk menjadi SEZ,” kata pengerusi jawatankuasa pelaburan, perdagangan dan hal ehwal pengguna negeri Johor, Encik Lee Ting Han.

Iskandar, yang dilakar sebagai sebuah koridor pertumbuhan ekonomi pada 2006, mempunyai keluasan 2,217 kilometer persegi di selatan Johor, iaitu tiga kali ganda saiz Singapura.

Ia termasuk zon perindustrian berat Johor di Pasir Gudang, ibu kota Johor Bahru, Iskandar Puteri, Kulai, Sedenak dan sebahagian bandar Pontian.

Iskandar menarik pelaburan asing berjumlah RM153.4 bilion ($44 bilion) antara 2006 dengan 2022 dalam pelbagai industri – daripada elektrik dan elektronik, pusat data, farmaseutikal hingga kepada pemprosesan makanan.

Singapura adalah pelabur asing kedua terbesar di kawasan pembangunan Iskandar selepas China, dengan jumlah pelaburan RM33 bilion hingga Jun 2023.

Bagaimanapun, pelaburan di kawasan itu berkurangan sejak beberapa tahun lalu disebabkan sekatan sempadan semasa pandemik Covid-19, yang menyumbang kepada bekalan hartanah berlebihan di kawasan itu.

Sejak mula dilakar hingga kini, jumlah pelaburan di kawasan pembangunan Iskandar diramal mencecah lebih RM400 bilion pada 2023, kata Encik Lee.

Menurutnya, kawasan pembangunan Iskandar mempunyai prasarana dan kemudahan yang diperlukan, seperti lebuh raya, pelabuhan, bekalan utiliti, perbandaran dan institusi pendidikan yang sesuai untuk SEZ.

“Koridor pertumbuhan Iskandar akan menjadi permulaan baik, kerana kawasannya merangkumi rancangan pembangunan bersepadu Ibrahim Technopolis di bandar Sedenak, kawasan perindustrian berat di Pasir Gudang dan cadangan zon kewangan khas di Forest City,” katanya kepada ST.

SEZ itu diumumkan secara rasmi pada Oktober 2023 semasa lawatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Singapura bagi Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10.

Ia adalah zon bersepadu bagi perniagaan dan pelaburan yang bertujuan memudahkan aliran rakyat dan barangan merentasi sempadan antara dua negara itu.

Menurut satu sumber rasmi, Malaysia berharap dapat menarik sembilan sektor perniagaan ke SEZ, iaitu logistik, tenaga, perkilangan, pelancongan, penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan dan ekonomi digital.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg