JTC: Sewa industri S’pura naik lebih perlahan kepada 2.4% pada 2025
JTC: Sewa industri S’pura naik lebih perlahan kepada 2.4% pada 2025
Kadar kenaikan sewa ruang perindustrian Singapura tumbuh lebih perlahan kepada 2.4 peratus pada 2025, berbanding kenaikan 3.5 peratus pada 2024 dan 8.9 peratus pada 2023.
Indeks sewa semua ruang perindustrian Perbadanan Bandar Jurong (JTC) ini mencatat peningkatan tahunan terkecil sejak 2021, lapor The Business Times, berdasarkan data yang dikeluarkan pada 22 Januari.
Walaupun momentum kian reda, sewa industri masih menampakkan peningkatan suku tahunan 0.5 peratus pada suku keempat, menandakan kenaikan sukuan ke-21 berturut-turut sejak suku keempat 2020.
Dalam segmen kilang berbilang pengguna, sewa naik 0.2 peratus pada suku keempat, meningkat 1.8 peratus sepanjang tahun.
Sewa gudang pula meningkat 1.1 peratus dan melonjak tiga peratus berbanding suku keempat 2024.
Bagi kilang pengguna tunggal, sewa naik 0.7 peratus suku tahunan dan 2.7 peratus secara tahunan.
Sementara itu, sewa taman perniagaan meningkat 0.4 peratus berbanding suku ketiga dan melonjak 2.6 peratus sepanjang tahun.
Pada suku keempat, indeks harga semua ruang perindustrian meningkat 1.4 peratus berbanding suku ketiga.
Secara keseluruhan, harga industri meningkat lima peratus berbanding tempoh tahun sebelumnya.
Harga kilang berbilang pengguna meningkat 1.9 peratus pada suku keempat, tetapi harga kilang pengguna tunggal susut 0.3 peratus berbanding suku ketiga.
Sepanjang tahun, harga kilang berbilang pengguna melonjak 5.8 peratus, manakala harga kilang pengguna tunggal meningkat 2.6 peratus.
Kadar penghunian keseluruhan berada pada 88.7 peratus, turun 0.4 mata peratusan berbanding 89.1 peratus pada suku sebelumnya, dan 0.3 mata peratusan lebih rendah berbanding 89 peratus yang dicatat setahun lalu.
JTC menyatakan penurunan ini berpunca daripada peningkatan stok perindustrian sebanyak 345,000 meter persegi, ekoran siapnya lebih banyak ruang perindustrian.
Segmen gudang dan taman perniagaan mencatat kadar penghunian sedikit lebih baik berbanding suku sebelumnya.
Gudang mencatat kadar penghunian 89.8 peratus, manakala taman perniagaan 77.1 peratus, meningkat berbanding 77 peratus pada suku ketiga.
JTC menjangka satu juta meter persegi ruang perindustrian akan siap pada tahun berikutnya.
Kira-kira 53 peratus daripada bekalan baru akan datang daripada ruang kilang pengguna tunggal.
Ruang gudang akan menyumbang 29 peratus, dan ruang kilang berbilang pengguna 16 peratus.
Jumlah urus niaga jualan hartanah perindustrian, jatuh tiga peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya. Sebaliknya, jumlah urus niaga sewa meningkat dua peratus pada 2025.
Sepanjang suku ini, JTC memperuntukkan 67,800 meter persegi kemudahan siap bina (RBF) kepada pengusaha industri, merangkumi 33,700 meter persegi ruang bangunan tinggi dan 29,300 meter persegi ruang kilang berasaskan tanah.
Kira-kira 39 peratus daripada ruang bangunan tinggi yang diperuntukkan adalah dalam pembangunan baru JTC seperti JTC Defu Industrial City, Bulim Square dan 1 North Coast.
Tambahan 2.5 juta meter persegi ruang perindustrian dijangka siap pada 2027 dan 2028.
Ini bermakna purata bekalan tahunan kira-kira 1.1 juta meter persegi dari tahun 2026 hingga 2028.

