Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jualan insurans hayat S’pura naik 32.2% kepada $1.4b

May 14, 2024 | 5:21 PM
Persatuan Insurans Hayat (LIA) Singapura berkata penjualan polisi premium tunggal yang lebih tinggi disebabkan persekitaran ekonomi makro lebih baik, memandangkan perkembangan ekonomi Singapura yang semakin rancak.
Persatuan Insurans Hayat (LIA) Singapura berkata penjualan polisi premium tunggal yang lebih tinggi disebabkan persekitaran ekonomi makro lebih baik, memandangkan perkembangan ekonomi Singapura yang semakin rancak. - Foto ST

Industri insurans hayat Singapura mencatat prestasi amat baik, dengan penjualan premium bagi perniagaan baru mencecah hampir $1.4 bilion untuk suku pertama 2024.

Ini merupakan kenaikan 32.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dan menandakan prestasi suku pertama paling kukuh sektor tersebut sejak pandemik Covid-19.

Persatuan Insurans Hayat (LIA) Singapura pada 14 Mei berkata penjualan polisi premium tunggal melonjak 46.4 peratus kepada $500.4 juta bagi suku pertama 2024.

Ini disebabkan persekitaran ekonomi makro lebih baik, memandangkan perkembangan ekonomi Singapura yang semakin rancak kini, lapor The Business Times (BT).

Jumlah premium bagi polisi premium tahunan naik 25.2 peratus kepada $866.5 juta berbanding suku pertama 2023.

Menurut LIA, ia mencerminkan “trend berpanjangan (yang menunjukkan) usaha memenuhi keperluan perlindungan diberi keutamaan di Singapura”.

Presiden LIA, Encik Dennis Tan berkata: “Industri insurans hayat memulakan tahun ini secara positif dengan memberi tumpuan dan mencapai kemajuan dalam mengecilkan jurang perlindungan negara kita, sedang kita mengembangkan sektor ini secara keseluruhan.

“Walaupun kebimbangan mengenai potensi kesan persekitaran ekonomi makro kekal relevan, industri ini terus tangkas untuk menyahut dengan pantas keperluan pengguna di Singapura.”

Daripada sejumlah $33.8 bilion jumlah premium insurans yang diperoleh bagi suku pertama 2024, wakil penasihat kewangan (FA) menyumbang 37.2 peratus, iaitu, $12.6 bilion.

Ini diikuti sumbangan 36.3 peratus ($12.3 bilion) oleh wakil insurans yang terikat dengan sesebuah syarikat insurans, 18.4 peratus ($6.2 bilion) oleh wakil bank yang menjual produk insurans, dan 5 peratus ($1.7 bilion) daripada sumbangan langsung secara dalam talian.

LIA menyatakan bahawa Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu, atau Integrated Shield Plan (IP), kekal sebagai komponen penting bagi perlindungan insurans kesihatan.

Ia menganggar seramai 35,000 lagi rakyat dan penduduk tetap (PR) Singapura dilindungi IP pada akhir Mac 2024.

Jumlah premium perniagaan baru bagi insurans kesihatan individu mencecah $98.6 juta, naik 5.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Premium bagi IP, dan IP dengan faedah tambahan (rider) membentuk 82.9 peratus ($81.7 juta) daripada jumlah itu, dengan baki 17.1 peratus ($16.9 juta) terdiri daripada pelan perubatan dan pelan faedah tambahan lain.

LIA menyatakan bahawa inflasi perubatan “terus menjadi satu cabaran di Singapura dan memerlukan usaha bersama semua pihak dalam ekosistem penjagaan kesihatan untuk mengurusnya secara aktif”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg