Penjualan runcit di Singapura turun 0.6 peratus pada Jun 2024 berbanding Jun 2023.
Ini berbanding pertumbuhan 2.2 peratus pada Mei.
Penjualan yang merosot itu mungkin disebabkan lebih ramai penduduk di sini yang melancong ke luar negara semasa musim cuti sekolah pada Jun, didorong oleh kadar pertukaran mata wang Singapura yang lebih baik berbanding negara destinasi pelancongan popular lain, kata penganalisis.
Pakar ekonomi UOB, Encik Jester Koh, berkata jualan runcit mungkin merosot berikutan pelancong China yang lebih gemar melancong di negara sendiri berbanding luar negara, manakala daya saing Singapura sebagai destinasi pelancongan mungkin terjejas disebabkan harga lebih tinggi di sini, selain kadar pertukaran mata wang yang kukuh.
Pemulihan agak lemak dalam ketibaan pelancong di sini mungkin menjejas jualan runcit, yang diburukkan lagi oleh perbelanjaan penduduk yang dialihkan ke luar negara, memandangkan lebih ramai penduduk di sini lebih gemar berbelanja di luar negara disebabkan dolar Singapura yang kukuh, katanya.
Beliau menambah jumlah penerbangan yang membawa penduduk ke luar negara kini melebihi paras sebelum Covid-19.
Ketua pakar ekonomi OCBC Bank, Cik Selena Ling, menyatakan demam konsert pada suku pertama 2024 telah menyebabkan prestasi sektor runcit merosot ketara pada suku kedua 2024.
Beberapa pakar ekonomi yang ditinjau meramalkan jualan runcit meningkat 3.8 peratus pada Jun 2024 berbanding Jun 2023.
Tidak termasuk jualan kenderaan bermotor, jualan runcit menurun 3.1 peratus pada Jun, menurut data Jabatan Perangkaan (DOS) pada 5 Ogos.
Lebih separuh daripada 14 kategori runcit mencatat jualan yang merosot pada Jun berbanding tempoh sama 2023, lapor The Straits Times (ST).
Jualan bagi barangan optik dan buku mencatat penurunan terbesar 12.5 peratus, pada umumnya disebabkan jualan buku yang berkurangan.
Jualan pakaian dan kasut menguncup 10.1 peratus, manakala jualan di pasar mini dan kedai serbaneka susut 7.1 peratus.
Sebaliknya, peruncit kenderaan bermotor menikmati jualan yang melonjak 19.5 peratus, manakala peruncit makanan dan alkohol mencatat jualan yang naik 5.3 peratus pada Jun.
Jualan khidmat katering makanan meningkat 19.3 peratus pada Jun berbanding Jun 2023, melanjutkan pertumbuhan 18.8 peratus pada Mei.
Pendapatan kafe, pusat makanan dan tempat makan lain naik 2.5 peratus, manakala jualan di restoran meningkat 0.2 peratus.
Pendapatan di kedai makanan segera turun 4.9 peratus.
Jumlah jualan khidmat makanan dan minuman pada Jun dianggar bernilai $955 juta, dengan sekitar 24 peratus daripadanya diraih melalui wadah dalam talian.
Jumlah jualan runcit dianggar bernilai $3.8 bilion, dengan 12.1 peratus daripadanya diraih melalui pembelian dalam talian.
Jualan runcit Singapura dapat dirangsang dengan lebih ramai pelancong China dijangka tiba di sini semasa cuti musim panas pada Julai dan Ogos 2024, menurut pakar ekonomi DBS Bank, Encik Chua Han Teng.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg