Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah ketibaan pelancong susut ke 1.36j pada Apr, selepas lonjak pada Mac

May 16, 2024 | 6:41 PM
Pelancong dari Indonesia, China, India, Malaysia dan Australia adalah yang paling ramai berkunjung ke Singapura pada April.
Pelancong dari Indonesia, China, India, Malaysia dan Australia adalah yang paling ramai berkunjung ke Singapura pada April. - Foto ST

Ketibaan pelawat antarabangsa Singapura merosot pada April selepas mencecah paras tertinggi yang disebabkan tarikan konsert bintang pop Amerika Syarikat, Taylor Swift, pada Mac.

Ia juga menandakan jumlah ketibaan terendah pada 2024 setakat ini.

Singapura mengalu-alukan ketibaan 1.36 juta pelancong pada April, berdasarkan angka terkini yang dikeluarkan oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada 16 Mei.

Ini adalah kemerosotan daripada 1.48 juta pada Mac, apabila Swift beraksi dalam enam pertunjukan konsert di Stadium Negara, dan kumpulan K-pop Shinee turut mengadakan persembahan satu malam di Stadium Tertutup Singapura.

Jumlah tersebut adalah prestasi yang lebih lemah berbanding dua bulan pertama 2024, apabila Singapura mencatat 1.44 juta pelancong pada setiap bulan, lapor The Business Times (BT).

Sementara itu, kumpulan British, Coldplay, mengadakan beberapa pertunjukan di negara ini pada Januari, manakala perayaan Tahun Baru Cina jatuh pada Februari, seiring dengan permulaan skim bebas visa 30 hari Singapura-China.

Bagi April, Singapura menyaksikan kedatangan pelancong paling ramai dari Indonesia diikuti China, India, Australia, Malaysia dan Filipina. 

Indonesia mengatasi China sebagai sumber ketibaan paling ramai pada April, dengan 243,893 pelancong – meningkat daripada 205,034 pada Mac.

China berada di tempat kedua dengan 220,444 pelancong, turun daripada 247,725 pada bulan sebelumnya.

Di tangga kelima ialah Malaysia – dengan seramai 106,191 pelancong dari negara jiran itu berkunjung ke Singapura.

Jumlah tersebut adalah lebih rendah berbanding 120,256 pelancong pada bulan sebelumnya.

Seramai 96,892 pelancong datang dari Australia pada April, berbanding 91,553 pada Mac.

Filipina, yang merupakan sumber pengunjung keempat terbesar pada Mac, menduduki tempat keenam pada April.

Pada 2024 setakat ini, Singapura melaporkan kira-kira 5.71 juta ketibaan pelawat antarabangsa, kira-kira 90 peratus daripada angka untuk tempoh yang sama sebelum Covid-19.

Dalam Persidangan Industri Pelancongan STB awal Mei, ketua eksekutifnya, Cik Melissa Ow, berkata agensi itu menjangkakan 15 juta hingga 16.5 juta ketibaan pelancong pada 2024, dan menghasilkan pendapatan $27.5 bilion hingga $29 bilion.

Jika ramalan hasil pendapatan tertinggi $29 bilion itu dicapai, ia akan memecah rekod baru.

Berucap di majlis yang sama, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, menyatakan bahawa ketibaan lebih separuh daripada 15 pasaran pelancong teratas Singapura telah mencapai atau melebihi tahap prapandemik, dengan pemulihan paling kukuh dalam bilangan pelancong Malaysia, Jerman, Australia dan United Kingdom.

“Kami juga melihat tanda-tanda menggalakkan dari China, yang menyaksikan ketibaan pulih kepada 80 peratus daripada tahap prapandemik,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg