Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

MENANGANI KRISIS & KEMELESETAN

Kafe dan restoran baru rancakkan sektor makanan halal setempat

Feb 10, 2021 | 05:30 AM



SEKTOR makanan halal di sini kian rancak dengan pembukaan beberapa restoran dan kafe baru, di sebalik cabaran di tengah-tengah pandemik.



Restoran-restoran itu menyajikan masakan Perancis, Jepun dan jenis makanan khas seperti daging stik daripada pelbagai potongan.



Dengan adanya restoran-restoran itu, pilihan untuk pasaran makanan halal kian meluas.



Pemilik-pemilik restoran itu mahu memberikan pengalaman yang menyeluruh, dan ini termasuk makanan yang lazat, khidmat yang baik dalam suasana yang diinginkan pelanggan, lapor The Straits Times.



Encik Shaleh Jati, 40 tahun, pemilik Picanhas', sebuah restoran daging stik yang terletak di Club Street, berkata:



"Saya telah berkecimpung dalam bidang makanan dan minuman (F&B) selama 25 tahun. Para pelanggan tidak mempunyai jangkaan yang tinggi apabila mereka pergi ke restoran halal. Ini tidak seharusnya berlaku.



"Pelanggan tahu apa yang mereka mahukan. Apabila mereka datang ke sini, kami mahu mereka berasa selesa, dan mereka tidak perlu merendahkan jangkaan mereka."



Beliau dan pemilik restoran lain telah meneliti kehendak pelanggan mereka dengan baik. Restoran-restoran mereka kini dipenuhi pelanggan, dan ini menunjukkan betapa kecil sektor makanan halal di sini.



Pemilik Daya Izakaya, sebuah restoran Jepun di Jalan Kayu, juga mendapati perkara yang sama.



Salah seorang pemiliknya, Encik Harminder Singh, 58 tahun, berkata:



"Para pelanggan yang pernah menjamu makanan halal di Jepun memberitahu bahawa rasa makanan di sini adalah tulen."



Sementara itu, pemilik restoran Perancis di North Bridge Road, the White Label, berkata mereka menitikberatkan hal seperti ini dengan menampilkan menu-menu baru menggunakan teknik masakan Perancis asli dan mempromosikan rasa yang disukai penduduk setempat.



Pemilik bersama, Encik Marc Chua, 37 tahun, menambah:



"Kami rasa pelanggan Muslim kini lebih canggih dan mempunyai pengalaman melancong yang luas, maka mereka inginkan sesuatu yang lebih 'mewah'."



PICANHAS'



Restoran Picanhas' menawarkan pelbagai potongan stik yang mempunyai ciri-ciri tertentu.



Pemiliknya Encik Shaleh berkata beliau sendiri lebih suka bahagian yang mempunyai lebih lemak.



"Di situlah rasanya lebih menonjol," katanya.



Stik jenis itu biasanya tidak mahal, tetapi memerlukan teknik memasak yang teliti. Kerana urat-urat di bahagian itu membuat daging lebih kenyal, peniaga berusia 40 tahun dan cefnya, Encik Fitri Buang, 37 tahun, menghabiskan masa dua hingga tiga bulan untuk memperbaiki cara memasaknya.



Kira-kira 70 peratus pelanggannya adalah daripada masyarakat Muslim, dan restoran itu juga telah menarik pelanggan dari Brazil.



Restoran yang dibuka pada 15 Disember lalu kini penuh dengan pelanggan, termasuk mereka yang telah menjadi pelanggan tetap yang ke sana untuk menjamu selera setiap minggu.



Restorannya menjual 150 hingga 170 keping stik sehari.



Tempahan di restoran itu sudah penuh untuk cuti panjang sempena Tahun Baru Cina ini.



Restoran yang terletak di 90 Club Street itu dibuka dari tengah hari hingga 3.30 petang, dan 5.30 petang hingga 10 malam dari Selasa sehingga Jumaat, serta 11 pagi hingga 3.30 petang, dan 5.30 petang hingga 10 malam pada Sabtu dan Ahad.



Pelanggan boleh membuat tempahan melalui laman web Picanhas' di www.picanhassg.com.



DAYA IZAKAYA



Di tengah-tengah deretan kedai menjual roti perata, Daya Izakaya muncul untuk membawa kelainan di Jalan Kayu untuk para pelanggan yang mencari makanan Jepun.



Restoran itu dibuka pada awal Disember oleh empat sekawan - Encik Raheel Abdul Rashid, 51 tahun; Encik Sidek Md Nor, 69 tahun; Encik Singh, 58; dan Cik Siow Ying, 48 tahun.



Mereka semua mempunyai pengalaman di dalam perniagaan makanan.



Budaya Izakaya dari Jepun itu telah diubah untuk pelanggan beragama Islam, dan minuman yang disediakan adalah soda dan jus buah-buahan.



Pelanggan Muslim merangkumi 60 peratus pengunjung ke restoran mereka, dan keluarga yang tinggal berdekatan sudah menjadi pelanggan tetap.



"Ideanya adalah untuk memenuhi kehendak pelanggan. Mereka tidak dapat melancong, dan lokasi kami pula seperti 'mengembara' ke tempat lain," ujar pemilik bersama Daya Izakaya, Encik Singh.



Restoran itu terletak di 254 Jalan Kayu, dan dibuka dari 11.30 pagi hingga 2.30 petang, 6 petang hingga 11 malam (Isnin hingga Khamis, 1 tengah hari hingga 11 malam (Jumaat), 11.30 pagi hingga 11 malam (Sabtu, Ahad dan cuti umum).



Pelanggan boleh menghubungi talian 8321-5242 untuk maklumat lanjut.



THE WHITE LABEL



Di tengah hiruk-pikuk North Bridge Road, restoran The White Label menonjol di sebalik kedai antik, kedai kain dan beberapa restoran dan kafe.



Dengan 'awning' (sengkuap hias atau kanvas yang memayungi dari hujan dan panas) berjalur, dan nama dalam tulisan yang kemas, ia seperti memanggil pelanggan untuk menjamu selera di sana.



Restoran itu, yang dibuka pada 24 Disember, menyediakan sajian Perancis.



Cef-cef di sana telah menampilkan beberapa cara kreatif untuk menggantikan wain yang digunakan di dalam masakan Perancis, di mana mereka menggunakan kuah singgang untuk menggantikan wain dalam menyerlahkan rasa masam untuk satu masakan berasaskan kepah bernama moules mariniere.



Kira-kira 80 peratus pelanggan mereka merupakan pelanggan Muslim, dan mereka telah dapat menerima hidangan yang disediakan.



Dengan hanya 64 tempat duduk di dalam dan luar restoran, ia biasanya penuh hampir setiap hari.



The White Label terletak di 734 North Bridge Road, dan waktu pembukaan ialah dari 11.30 pagi hingga 10 malam (Ahad hingga Khamis), 11.30 pagi hingga 11 malam (Jumaat dan Sabtu).



Pelanggan boleh menghubungi talian 8202-2358 untuk membuat tempahan atau mendapatkan maklumat lanjut.




"Saya telah berkecimpung dalam bidang makanan dan minuman (F&B) selama 25 tahun. Para pelanggan tidak mempunyai jangkaan yang tinggi apabila mereka pergi ke restoran halal. Ini tidak seharusnya berlaku.

Pelanggan tahu apa yang mereka mahukan. Apabila mereka datang ke sini, kami mahu mereka berasa selesa, dan mereka tidak perlu merendahkan jangkaan mereka."

- Encik Shaleh Jati, 40 tahun, pemilik Picanhas', sebuah restoran daging stik yang terletak di Club Street.




“Ideanya adalah untuk memenuhi kehendak pelanggan. Mereka tidak dapat melancong, dan lokasi kami pula seperti ‘mengembara’ ke tempat lain.”
- Pemilik bersama Daya Izakaya, Encik Harminder Singh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >