Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Karyawan S’pura lebih optimis tentang AI berbanding pekerja di AS, UK

Aug 26, 2025 | 6:17 PM
AI, karyawan, pekerja
Penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang kian meningkat telah menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kesannya terhadap tenaga kerja. - Foto ST

Karyawan di Singapura adalah antara yang paling optimistik tentang potensi kecerdasan buatan (AI) dalam memperbaiki kehidupan kerja mereka.

Demikian menurut satu tinjauan LinkedIn yang dikeluarkan pada 26 Ogos.

Sekitar 69 peratus karyawan di Singapura berkongsi pandangan tersebut, meletakkan mereka di hadapan United Kingdom (UK) pada 59.4 peratus; Australia pada 56.9 peratus; dan Amerika Syarikat pada 54.3 peratus.

Namun, Singapura berada di belakang India (78.3 peratus) dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) (77.2 peratus).

Wadah rangkaian LinkedIn telah meninjau lebih 19,000 pekerja sepenuh masa, pekerja sambilan, dan pencari kerja aktif di 14 negara sepanjang tiga minggu pada Julai.

Penggunaan AI yang kian meningkat telah menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kesannya terhadap tenaga kerja.

Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akur terhadap kebimbangan bahawa teknologi AI mungkin menggantikan sebilangan pekerjaan.

Namun, beliau memberi jaminan pemerintah akan memastikan pekerja meraih manfaat daripada peralihan kepada AI.

Beliau memberi contoh pengendali pelabuhan PSA, yang melatih semula pekerja untuk menyelia dan mengurus pelbagai kren dan kenderaan dari jarak jauh.

Usaha tersebut membawa kepada peningkatan daya penghasilan dan pekerjaan lebih selamat serta bergaji lebih tinggi, lapor The Straits Times (ST).

Keyakinan terhadap sokongan pemerintah mendorong rasa optimis tersebut, kata Pengarah Urusan Asia-Pasifik di LinkedIn, Cik Feon Ang.

“Singapura mempunyai rekod kukuh dalam membantu pekerja meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dalam menghadapi gangguan.

“Ini dilakukan melalui daya usaha seperti yang diumumkan semasa Rapat Hari Kebangsaan, skim pemadanan pekerjaan dan skim latihan, yang mengukuhkan sokongan tersebut,” ujar beliau.

Pekerja Singapura turut mengambil inisiatif sendiri untuk meningkatkan kemahiran AI mereka.

Baru-baru ini, LinkedIn melihat peningkatan 147 peratus dalam jumlah masa yang diluangkan bagi kursus AI dan AI generatif di Singapura.

Di samping itu, pekerja Singapura secara aktif menambah kemahiran berkaitan AI ke dalam profil mereka, kata Cik Ang.

“Pada masa sama, mereka juga menumpukan perhatian untuk mempelajari kemahiran insaniah.

“Keseimbangan antara kemahiran teknikal dengan kemahiran insaniah inilah yang diperlukan untuk terus berada di hadapan dalam era AI,” jelas beliau.

“Ia seperti sekolah – apabila anda bersedia untuk peperiksaan, anda masuk (ke bilik peperiksaan) dengan yakin.

“Begitu juga di tempat kerja. Apabila individu berasa bersedia menghadapi perubahan, mereka berasa optimis tentang masa depan,” tambahnya.

Karyawan muda di Singapura, berusia antara 18 dengan 24 tahun, didapati paling positif tentang kesan AI terhadap kehidupan kerja mereka.

Lebih 80 peratus daripada mereka menyifatkan teknologi AI akan memberi pelbagai manfaat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg