Pasaran fintech Singapura menunjukkan daya tahan dan kebolehsuaian pada separuh pertama 2024, dengan pertumbuhan yang ketara dalam kegiatan urus niaga.
Kegiatan urus niaga melonjak sebanyak 19 peratus, mencapai 117 tawaran di seluruh penyedia modal (VC), ekuiti swasta (PE) dan penggabungan dan pemerolehan (M&A) pada separuh pertama 2024, berbanding separuh kedua 2023, menurut edisi terkini Pulse KPMG Fintech.
Tempoh ini menyaksikan syarikat-syarikat fintech di Singapura meraih AS$522.89 juta ($668.9 juta), mencerminkan penurunan sebanyak 34 peratus daripada AS$790.10 juta dalam 98 urus niaga pada separuh kedua 2023.
Di peringkat global, pelaburan fintech susut daripada AS$62.3 bilion menerusi 2,287 urus niaga pada separuh kedua 2023 hingga AS$51.9 bilion merentasi 2,255 urus niaga pada separuh pertama 2024.
Perhatian yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur, didorong oleh kadar faedah yang tinggi dan ketidakpastian ekonomi.
Ini sekali gus telah menghasilkan persekitaran pendanaan lebih ketat.
Akibatnya, terdapat peralihan yang ketara ke arah pelaburan yang lebih kecil, awal dan bukannya urus niaga berskala besar.
Di Singapura, trend ini terbukti dengan 52 urus niaga peringkat awal, 32 pusingan benih pelaburan, 25 pelaburan peringkat kemudian dan lima transaksi pengambil alihan.
“Kenyataannya ialah jumlah keseluruhan pelaburan global untuk separuh pertama tahun ini (2024) disokong oleh segelintir urus niaga besar, beberapa di antaranya telah mengubah struktur daripada syarikat awam kepada swasta yang bertujuan mengelakkan kerugian penilaian yang besar atau lebih teruk,” kata Encik Anton Ruddenklau, ketua global Fintech dan Inovasi, Perkhidmatan Kewangan, KPMG International.
Sementara itu, jumlah urus niaga peringkat awal di seluruh dunia telah berkembang maju kerana minat terhadap teknologi baru, seperti aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan model perniagaan yang lebih baru untuk memenuhi perubahan dalam sektor perkhidmatan kewangan.
Kebangkitan platform terus rancak untuk mendapatkan momentum sebagai desentralisasi, agregasi data dan sambungan ekosistem menjadi arus perdana.
Mencerminkan pendekatan pelaburan berhati-hati, aset blok rantai dan digital telah menyaksikan peningkatan pengawasan dan pengawalseliaan.
Segmen mata wang kripto dan blok rantai pasaran fintech Singapura mencatatkan AS$211.90 juta merentasi 72 urus niaga pada separuh pertama 2024 – naik 22 peratus daripada AS$166.30 juta menerusi 38 urus niaga yang direkodkan pada separuh kedua 2023.
Rangka kerja pengurusan risiko yang teguh untuk aset digital baru-baru ini mengumumkan inisiatif untuk skala aset digital dalam perkhidmatan kewangan.
Secara global, mata wang kripto dan blok rantai stabil pada AS$3.2 bilion, di sebalik penurunan sebelumnya.
Walaupun saiz urus niaga agak kecil, jumlah urus niaga tetap baik, dengan 677 urus niaga selesai pada separuh pertama 2024 – melebihi jumlah urus niaga pada 2023.
Segmen pembayaran di Singapura memperoleh pelaburan kedua tertinggi yang menarik AS$ 80.20 juta dalam 10 urus niaga pada separuh pertama 2024, meskipun ia menandakan penurunan 78 peratus daripada AS$142.65 juta melibatkan 14 urus niaga sepanjang separuh kedua 2023.
Urus niaga melibatkan pembayaran terbesar dalam rantau Asia Pasifik melibatkan peningkatan modal teroka AS$50 juta oleh platform pembayaran perniagaan ke perniagaan (B2B) yang berpangkalan di Singapura.
Kegiatan pembayaran Singapura termasuk pembayaran dinamik dan penyelesaian pembayaran rentas sempadan serta penyelesaian pembayaran pada skala global, segmen pembayaran yang membawa pelaburan fintech pada separuh pertama 2024, menarik AS$21.4 bilion.
Pembiayaan AI menyaksikan kestabilan berikutan lonjakan pada separuh kedua 2023, dengan pelaburan merosot kepada AS$65.62 juta dalam 10 urus niaga pada separuh pertama 2024, turun daripada AS$333.13 juta menerusi 14 urus niaga.
Segmen AI, bercirikan teknologi kompleks yang memerlukan pelaburan pendahuluan yang besar dan tempoh masa kembali yang lebih lama, telah menghadapi peningkatan pengawasan dan kawal selia.
Pengawasan ini telah memperlahankan proses memuktamadkan urus niaga sedang syarikat dan pelabur menyesuaikan diri dengan keperluan pematuhan baru dan ketidakpastian ekonomi.
Sepanjang lima tahun yang lalu, sektor fintech di Singapura telah mengalami turun naik yang ketara.
Tempoh sebelum pandemik menyaksikan urus niaga agak perlahan, diikuti dengan lonjakan pascapandemik, memuncak pada AS$3.27 bilion pada separuh pertama 2022.
Bagaimanapun, gelora ekonomi baru-baru ini telah menjejas momentum ini, yang membawa kepada saiz urus niaga yang lebih kecil dan pembiayaan besar-besaran yang lebih perlahan.
Namun, terdapat keyakinan pada 2025, dengan jangkaan urusan fintech yang tertunggak berpotensi menyemarakkan landskap pelaburan.
Secara global, hanya lima urus niaga fintech melebihi AS$1 bilion yang berlaku pada separuh pertama 2024, termasuk pembelian WorldPay yang berpangkalan di Amerika Syarikat sebanyak AS$12.5 bilion dan Nuvei, yang berpangkalan di Canada sebanyak AS$6.3 bilion.
Urus niaga modal teroka terbesar melibatkan AS$999 juta oleh sebuah syarikat United Kingdom.
Walaupun jumlah pelaburan menurun, jumlah urus niaga serantau menunjukkan harapan.
Meskipun jumlah urus niaga secara global merosot sedikit, penurunan itu disebabkan oleh kemerosotan jumlah urus niaga di Eropah, Timur Tengah dan Afrika – daripada 804 pada separuh kedua 2023 kepada 689 pada separuh pertama 2024.
Secara perbandingan, Amerika menyaksikan jumlah urus niaganya meningkat daripada 1,066 kepada 1,123, manakala di rantau Asia Pasifik menyaksikan ia meningkat daripada 406 kepada 438.
“Kos tinggi modal dan ketidaktentuan geopolitik yang dikaitkan dengan konflik dan pilihan raya, telah menjejaskan semua pelaburan global setakat tahun ini (2024) dan pasaran fintech tidak terlepas daripada itu,” kata Encik Karim Haji, Ketua Perkhidmatan Kewangan Global, KPMG International.
“Pelabur bertindak berhati-hati, bukan sahaja apabila ia melibatkan urus niaga besar memandangkan kebimbangan mengenai penilaian dan sasaran potensi keuntungan, pelabur menumpukan pada menambah baik syarikat yang sudah dimiliki daripada membeli yang baru,” tambahnya.
“
Kos tinggi modal dan ketidaktentuan geopolitik yang dikaitkan dengan konflik dan pilihan raya, telah menjejaskan semua pelaburan global setakat tahun ini (2024) dan pasaran fintech tidak terlepas daripada itu.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg