Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesan Covid, permintaan lemah hambat matlamat makanan ‘30 jelang 30’ S’pura

Sep 20, 2023 | 3:04 PM
LADANG TEMPATAN: Pada 2022, ladang sayur tempatan menyumbang sebanyak 3.9 peratus kepada permintaan makanan Singapura.
LADANG TEMPATAN: Pada 2022, ladang sayur tempatan menyumbang sebanyak 3.9 peratus kepada permintaan makanan Singapura. - Foto ST

Singapura masih jauh daripada matlamatnya untuk menghasilkan 30 peratus keperluan makanan setempat menjelang 2030. Ini akibat kesan Covid-19 dan kekurangan permintaan yang ketara, menurut pemain industri.

Pandemik itu telah menjejas industri hotel, restoran, katering dan penerbangan Singapura serta ladang tempatan yang membekalkan hasil makanan setempat.

“Kami pernah membekalkan kepada pelbagai hotel lima bintang dan restoran tahap bintang Michelin, tetapi semasa tempoh putus litar, semua itu terbengkalai,” kata ketua eksekutif syarikat Kumpulan Barramundi, Encik James Kwan.

“Apabila industri penerbangan terjejas dalam sekelip mata, kami mempunyai bertan-tan ikan (yang berlebihan). Namun, kami perlu memastikan agar ikan-ikan itu kekal hidup sehingga keadaan bertambah baik,” katanya lagi.

“Ini adalah sebab mengapa kebanyakan ladang tempatan runtuh.”

Ladang tempatan, The Fish Farmer, pula telah melihat keadaan kembali pulih bagi beberapa permintaan hotel tetapi ia belum mencecah tahap prapandemik, kata pengasasnya, Encik Malcolm Ong.

Matlamat pemerintah ‘30 menjelang 30’ (untuk memenuhi 30 peratus keperluan makanan setempat menjelang tahun 2030), yang diumumkan pada 2019 lebih relevan semasa pandemik apabila gangguan rantaian bekalan memaparkan peri pentingnya penghasilan tempatan.

Sesetengah ladang makanan meraih faedah daripada gangguan semasa tempoh Covid-19 apabila peruncit terpaksa mendapatkan bekalan setempat. Permintaan runcit juga meningkat kerana lebih ramai orang masak semasa berada di rumah.

Ketika penutupan sementara, penghasil udang Kumpulan Blue Aqua “sering mendapat panggilan daripada pasar raya dan vendor lain”, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas bersama, Encik Farshad Shishehchian.

Angka rasmi menunjukkan sedikit kemajuan terhadap matlamat ‘30 menjelang 30’. Pada 2022, ladang telur tempurung ayam, sayur dan makanan laut tempatan masing-masing menyumbang sebanyak 28.9 peratus, 3.9 peratus dan 7.6 peratus kepada penggunaan makanan Singapura, yang setanding dengan tahun-tahun sebelumnya.

“Sejak tiga tahun lalu, pengeluaran tempatan kekal stabil dengan sedikit turun naik bagi makanan laut dan sayur-sayuran,” kata Agensi Makanan Singapura (SFA).

Selain itu, pandemik Covid-19 juga telah melengahkan penubuhan ladang baru dan mempertingkatkan ladang sedia ada.

“Terdapat kelewatan selama satu hingga dua tahun dalam banyak kes, yang menjejas garis masa ladang untuk mencapai kapasiti pengeluaran penuh,” kata SFA semasa menjawab pertanyaan The Business Times.

“Kami bekerjasama rapat dengan ladang-ladang ini untuk mencapai jadual projek mereka. Namun begitu, secara keseluruhannya, bilangan ladang dan pengeluaran makanan tempatan telah meningkat sejak beberapa tahun ini.”

Dalam pada itu, harga juga menjadi punca cabaran untuk memenuhi matlamat makanan ‘30 menjelang 30’ Singapura.

“Warga Singapura sensitif terhadap harga. Soalan pertama mereka ialah berapakah harga makanan itu, bukan dari mana ia dihasilkan,” kata Encik William Ho yang telah menutup Ladang Ayam dan Puyuh Lian Wah Hang baru-baru ini kerana gagal memperolehi tanah.

“Masalahnya ialah permintaannya sedikit sahaja, maka ia benar-benar menghalang kami daripada menghasilkan bahan makanan setempat,” kata Encik Ho.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg