Soalan: Berapa banyak yang perlu saya peruntukkan untuk melabur setiap bulan? Adakah ada jumlah tertentu yang harus diperuntuk?
Ini bergantung kepada beberapa perkara. Soalan penting yang merupakan titik permulaan untuk semua ialah bertanya diri sendiri apakah objektif pelaburan anda.
Jika misalnya anda mahu bersara pada usia 40 tahun atau 50 tahun dan anda mahukan pendapatan pasif $2,000 sebulan, sebagai perancang kewangan, kami akan kirakan apakah jumlah wang keseluruhan yang anda perlukan.
Misalnya, jumlah itu adalah $3 juta kerana berdasarkan jangka hayat, anda boleh hidup 40 tahun lagi.
Dengan jumlah sasaran ini, penilaian akan dilakukan ke atas profil anda, profil risiko anda – sama ada anda boleh mengambil risiko dan lebih agresif sedikit. Kami mungkin boleh sarankan pelaburan gabungan saham dan bon, contohnya, yang boleh menjana hasil 8% setahun.
Ini boleh bermakna anda perlu memperuntukkan $600 sebulan untuk portfolio pelaburan itu.
Pokoknya, setiap orang ada sasaran dan matlamat berbeza, jadi tiada jumlah wang yang tetap atau purata yang sama bagi semua orang kerana jumlah itu akan bergantung kepada setiap individu.
Soalan: Apakah insurans merupakan permulaan yang baik untuk melabur?
Umumnya, insurans bukanlah titik permulaan yang baik untuk melabur. Lazimnya, kami menganggap insurans sebagai perlindungan. Bagi pelaburan, lebih ideal melakukannya menerusi portfolio.
Terdapat instrumen tertentu yang menggabungkan kededuanya iaitu polisi berkaitan pelaburan (ILP), yang menggabungkan kededua pelaburan dan insurans. Ini selalunya untuk mereka yang mungkin mempunyai bajet atau wang yang diperuntukkan sekitar $100 sebulan.
Ini bukan cara melabur yang ideal kerana untuk perlindungan, lebih baik mempunyai polisi insurans. Portfolio pelaburan lebih bertujuan melabur. Untuk melakukan ini secara berasingan, ia memerlukan sekitar $400 hingga $500 sebulan.
Jika anda ada soalan mengenai kewangan dan pelaburan, emel kepada atiyyahm@sph.com.sg
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg